Afghanistan wajibkan rakyat guna mata wang tempatan dalam setiap transaksi


  • Benua
  • Khamis, 04 Nov 2021

WASHINGTON membekukan aset Afghanistan selepas Taliban kembali berkuasa pada Ogos. —Getty Images

KERAJAAN sementara di Afghanistan mewajibkan semua penduduknya menggunakan mata wang tempatan Afghanistan dalam setiap transaksi.

Timbalan Menteri Penerangan Taliban Zabihullah Mujahid dalam satu kenyataan pada Rabu berkata, perkara itu diputuskan bagi menjaga kepentingan ekonomi dan negara berkenaan.

Langkah itu dibuat ketika Taliban menyatukan kuasa di tengah-tengah pembekuan rizab asing Afghanistan bernilai AS$9 bilion (RM37 bilion).

Sebelum ini, Washington membekukan aset selepas Taliban kembali berkuasa pada Ogos dan mengumumkan pembentukan kerajaan sementaranya.

Pada masa sama, Zabihullah menggesa semua rakyat untuk mengelakkan daripada menggunakan mata wang asing kerana ia mampu memberi kesan negatif kepada ekonomi negara.

"Dan ia turut memberi kesan kepada semua warganegara, " katanya sambil memberi amaran tindakan akan dikenakan sekiranya ingkar arahan itu.

Meskipun kerajaan sementara masih belum diiktiraf di peringkat antarabangsa, Taliban masih mengekalkan hubungan tetap dengan kerajaan asing dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk menyokong bantuan kemanusiaan yang memenuhi keperluan asas rakyat. —Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

Afghanistan, mata wang, Taliban