Kemunculan pertama pemimpin agung Taliban


  • Benua
  • Ahad, 31 Okt 2021

PEMIMPIN tertinggi Taliban, Haibatullah Akhundzada. — Agensi

PEMIMPIN tertinggi Taliban, Haibatullah Akhundzada membuat penampilan umum pertamanya sejak mengambil alih tampuk kepimpinan kumpulan itu pada 2016.

Penampilannya ketika berucap kepada penyokong di bandar Kandahar di Selatan Afghanistan pada Sabtu sekali gus menafikan khabar angin mengenai kematiannya.

Sebelum ini, Haibatullah yang digelar sebagai Amir ul-Mukminin jarang kelihatan di umum walaupun selepas negara itu jatuh ke tangan Taliban sejak Ogos lalu.

Seorang pemimpin kanan Taliban yang turut hadir pada majlis tersebut berkata kepada Reuters bahawa Haibatullah telah melawat Madrasah Darul Uloom Hakimah pada Sabtu.

Dalam satu rakaman audio yang tersebar dalam kalangan akaun media sosial Taliban, beliau berkata, akan berdoa untuk cabaran yang bakal dihadapi dalam 'membina semula Emiriah Islam Afghanistan'.

Sejak kumpulan tersebut mendirikan kerajaan interim baharu pada September lalu susulan pengunduran tentera Amerika Syarikat, pemimpin Taliban itu masih mengekalkan sifatnya yang merendah diri sehingga menimbulkan spekulasi mengenai peranannya dalam kumpulan itu serta khabar angin tentang kematiannya.

Pada masa yang sama, beberapa anggota Taliban sebelum ini pula berkata bahawa Haibatullah pernah membuat penampilan umum, namun tanpa sebarang publisiti. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram