RUSIA memberi bayangan bahawa pihaknya tidak bersedia untuk membenarkan Taliban mewakili Afghanistan di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Duta Besar PBB Rusia, Vassily Nebenzia pada Jumaat berkata, tiada pihak yang tergesa-gesa untuk mengiktiraf Taliban sebagai kerajaan Afghanistan.
Beliau juga berkata sekatan PBB serta unilateral ke atas pemimpin Taliban perlu diutarakan tetapi "mungkin tidak serta-merta."
“Persoalan pengiktirafan akan timbul apabila masyarakat antarabangsa memastikan janji dan komitmen yang diumumkan kumpulan itu akan ditunaikan,” kata Nebenzia kepada pemberita.
Beliau merujuk kepada ikrar Taliban - yang dibuat sejak kumpulan itu menggulingkan kerajaan yang disokong Barat pada pertengahan Ogos - termasuk menegakkan hak asasi manusia, terutamanya wanita dan kanak-kanak perempuan, serta memerangi keganasan dan dadah.
PBB sedang mempertimbangkan tuntutan mengenai siapa yang harus mewakili Afghanistan. Taliban mencalonkan jurucakap mereka yang berpangkalan di Doha, Suhail Shaheen sebagai duta PBB, manakala Ghulam Isaczai - wakil PBB yang mewakili kerajaan yang digulingkan oleh Taliban - sedang berusaha untuk kekal di kerusi negara itu.
"Apabila bukti kelayakan dibentangkan, ia dibentangkan bagi pihak ketua negara. Jika ia dibentangkan bagi pihak (ketua) negara yang tidak diiktiraf, maka anda buatlah kesimpulan sendiri," kata Nebenzia.
Jawatankuasa kelayakan PBB, yang terdiri daripada sembilan negara anggota termasuk Rusia, China dan Amerika Syarikat, akan mempertimbangkan mengenai tuntutan tersebut bulan depan dan keputusan mungkin akan dibuat sebelum akhir tahun.
"Perkara utama pada masa kini adalah menstabilkan negara. Ekonomi berada di ambang kehancuran dengan kekurangan sebarang sumber, yang dibekukan dan tidak dikeluarkan dalam masa terdekat, berdasarkan kenyataan yang kita dengar," kata Nebezia.
Afghanistan meletakkan berbilion dolar aset di luar negara termasuk Rizab Persekutuan A.S. dan bank pusat lain di Eropah, tetapi wang itu telah dibekukan sejak Taliban berkuasa.
Shaheen memuatnaik satu ciapan di Twitter pada Jumaat: "Kami menyeru Komuniti Antarabangsa untuk menyokong Afghanistan dengan membekukan hampir $10 bilion aset rakyat Afghanistan dan menyambung semula bantuan pembangunan dan projek yang dijanjikan kepada Afghanistan."
Malah PBB tidak dapat menghantar wang tunai yang mencukupi ke Afghanistan untuk menyampaikan bantuan kepada berjuta-juta orang yang berada di ambang kebuluran dan sedang bergelut untuk mencari alternatif bagi membantu menstabilkan ekonomi yang merudum, kata pegawai PBB.
"Untuk membawa wang tunai dengan pesawat... mungkin bukan penyelesaian terbaik," kata Nebenzia. — Reuters
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram