LDP kekal terajui Jepun di bawah pimpinan Fumio Kishida


  • Benua
  • Isnin, 01 Nov 2021

KISHIDA memberitahu pihaknya akan melihat perkara itu secara terperinci berhubung kehilangan kerusi. — Agensi

KEKAL dengan majoriti selesa di Dewan Rakyat, gabungan Parti Demokratik Liberal (LDP) dan Komeito terus menggalas mandat untuk mentadbir Jepun.

Keputusan akhir pilihan raya umum yang diadakan pada Ahad menunjukkan LDP memperoleh 261 kerusi daripada 465 kerusi manakala sekutunya Komeito mendapat 32 kerusi.

Perdana Menteri Jepun, Fumio Kishida memberitahu, keputusan itu memberikannya "mandat berharga daripada rakyat” untuk terus memerintah.

Sebelum ini LDP menguasai 276 kerusi, kehilangan beberapa kerusi kepada parti pembangkang.

Kehilangan kerusi itu mencerminkan Perdana Menteri mungkin gagal mendapat sokongan kuat untuk dasarnya berkaitan Covid-19, ekonomi dan keselamatan negara.

Parti pemerintah itu kehilangan beberapa kerusi berprofil tinggi dan dilaporkan Setiausaha Agung LDP, Akira Amari akan meletakkan jawatannya berikutan kekalahannya.

Mengulas tentang perkara itu, Kishida memberitahu pihaknya akan melihat perkara itu secara terperinci.

Sementara itu, Kishida turut memberitahu bahawa kerajaan akan mencadangkan pakej rangsangan pada tahun ini untuk menyokong rakyat dan perniagaan yang terjejas akibat pandemik.

Terdahulu, pilihan raya umum Jepun menjadi medan ujian getir pertama untuk Kishida sejak menjadi perdana menteri pada 4 Oktober.

Dengan membawa wawasan "kapitalisme baharu, " beliau berikrar untuk merangsang pertumbuhan ekonomi sambil mengagihkan semula lebih banyak faedah ekonomi kepada kelas pertengahan.

Di bawah wawasan itu juga, kerajaan merancang mendapatkan lebih banyak katil hospital untuk pesakit Covid-19 sebagai persediaan menghadapi kemungkinan gelombang jangkitan ke-6. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

Jepun, pilihan raya umum