Kumpulan bersenjata serang majlis perkahwinan gara-gara muzik


  • Benua
  • Isnin, 01 Nov 2021

TALIBAN menyiasat insiden yang berlaku di wilayah Nangarhar itu. — Reuters

SEKUMPULAN lelaki bersenjata yang mendakwa diri mereka sebagai Taliban menyerang sebuah perkahwinan semata-mata mahu menghentikan muzik yang dimainkan.

Jurucakap Taliban berkata dua daripada tiga penyerang itu sudah ditahan dan menafikan mereka merupakan anggota kumpulan tersebut.

Muzik diharamkan ketika Taliban memerintah negara itu dari 1996 hingga 2001.

Bagaimanapun sejak Taliban mengambil alih semula pemerintahan negara itu susulan pengunduran tentera Amerika Syarikat (AS) tiada dekri terbaharu dikeluarkan melibatkan aktiviti itu.

Seorang saksi berkata empat pasangan melangsungkan perkahwinan secara bersama di daerah Surkh Rod dekat wilayah Nangarhar, timur Afghanistan pada Jumaat.

Mereka mendapatkan kelulusan daripada seorang pemimpin Taliban tempatan untuk memainkan muzik di kawasan yang hanya dihadiri oleh tetamu wanita.

Namun pada lewat malam, kumpulan lelaki bersenjata itu menyerbu majlis tersebut dan memecahkan pembesar suara.

Mereka melepaskan tembakan apabila tetamu membantah tindakan ganas itu.

Dua orang disahkan maut dalam kejadian itu.

Jurucakap Taliban Zabihullah Mujahid berkata kes itu masih disiasat. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

Taliban, perkahwinan, muzik