TALIBAN mengadakan dialog 10 negara di Moscow, Russia dalam usaha memperkukuhkan pengaruhnya di Asia Tengah
Sesi dialog itu diadakan di Russia yang menjadi tuan rumah untuk pertemuan berkenaan pada Rabu.
Dikatakan Russia menjadi tuan rumah dialog berkenaan sebagai strategi negara itu untuk menekan Taliban mengambil tindakan terhadap militan Daesh.
Militan itu kini semakin ramai memasuki Afghanistan dan menggugat kestabilan negara yang sememangnya goyah itu.
Pertemuan itu juga diatur selepas Presiden Russia, Vladimir Putin, mengeluarkan amaran minggu lalu mengenai kemunculan pengganas daesh yang berkumpul di Afghanistan.
Dialog yang turut disertai China dan Pakistan itu akan menjadi perjumpaan paling bermakna bagi Taliban sejak ia menguasai Afghanistan Ogos lalu.
Menteri luar Russia, Sergei Lavrov, juga dijangka berucap dalam pertemuan itu manakala delegasi Taliban diketuai Timbalan Perdana Menterinya, Abdul Salam Hanafi.
Beliau adalah tokoh kanan kepimpinan Afghanistan yang mengetuai perbincangan dengan Kesatuan Eropah (EU) dan Amerika Syarikat (AS) minggu lalu, disusuli perbincangan di Ankara antara pegawai Taliban dan Turki.
Menurut Kementerian Luar Russia pada Selasa, salah satu tujuan rundingan di Moscow itu adalah 'usaha komuniti antarabangsa untuk mencegah krisis kemanusiaan'.
Brussel sebelum ini menjanjikan 1 bilion euro (RM4.99 bilion) dalam usaha mengelakkan krisis kemanusiaan selepas pengambilalihan Afghanistan oleh Taliban.
Moscow berkata, pembentukan 'pemerintahan inklusif' juga akan menjadi agenda dialog dan pihak menyertai mesyuarat itu diharap akan mengeluarkan kenyataan bersama.
Sejak kebelakangan ini, Russia beberapa kali bertemu Taliban dan meraikan pemimpinnya di Moscow, meskipun ia ditakrifkan sebagai pertubuhan pengganas oleh negara itu.
Walaupun cuba berunding Taliban, pegawai Russia termasuk Putin, sejak beberapa minggu ini menegaskan Moscow tidak sama sekali bergerak ke arah mengiktiraf regim Taliban itu.— Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram