Ubat antidepresi murah dikatakan berpotensi rawat Covid-19


  • Benua
  • Khamis, 28 Okt 2021

KEMASUKAN ke hospital dalam kalangan pesakit Covid-19 dewasa yang mempunyai sejarah komorbid mungkin dapat dikurangkan melalui rawatan ubat fluvoxamine. — Agensi

UBAT antidepresi murah iaitu fluvoxamine, dipercayai dapat mengurangkan kemasukan ke hospital dalam kalangan pesakit Covid-19 dewasa yang mempunyai sejarah komorbid seperti menghidap tekanan darah tinggi dan kencing manis, penyakit jantung dan obesiti.

Kajian tersebut dijalankan ke atas hampir 1,500 rakyat Brazil yang dijangkiti koronavirus baru-baru ini dan berisiko tinggi kerana menghidap pelbagai penyakit termasuk kencing manis.

Hampir separuh daripada responden mengambil ubat berharga AS$4 (RM16.60) itu sebagai rawatan di rumah selama 10 hari manakala baki responden lain diberikan pil dummy.

Kesemua responden dipantau selama empat minggu untuk melihat siapa dalam kalangan mereka yang perlu dibawa ke hospital bagi mendapatkan rawatan lanjut, selain dirawat di zon kecemasan jika kapasiti hospital penuh.

Kajian mendapati, kira-kira 11 peratus daripada kumpulan yang mengambil fluvoxamine dimasukkan ke hospital untuk rawatan lanjut, lebih rendah berbanding 16 peratus yang mengambil pil dummy.

Hasil kajian diterbitkan dalam jurnal Lancet Global Health pada Rabu, dan penyelidik berharap mereka mendapat rekomendasi penggunaan ubat tersebut daripada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Hasil kajian juga dikongsikan kepada Institut Kesihatan Kebangsaan Amerika Syarikat yang bertanggungjawab menerbitkan garis panduan rawatan.

"Penyelidikan tersebut setakat ini nampak meyakinkan.

"Jika WHO mengesyorkannya, ia berpotensi digunakan secara meluas," kata pengarang bersama kajian, Dr Edward Mills dari McMaster University di Hamilton, Ontario, Kanada.

Beliau menambah, penggunaannya mungkin memberi sinar kepada negara miskin memandangkan mereka mempunyai bekalan ubat berkenaan.

Para penyelidik menguji pil itu yang digunakan untuk kemurungan dan gangguan obsesif-kompulsif kerana ia diketahui dapat mengurangkan keradangan. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram