Cubaan seludup lebih 23,000 pil ivermectin gagal


  • Benua
  • Rabu, 20 Okt 2021

ANTARA pil ivermectin yang dirampas oleh ICA. — Agensi

PIHAK Berkuasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) Singapura menggagalkan lima cubaan mengimport lebih 23,000 pil ivermectin ke negara berkenaan.

Menerusi kenyataan ICA DI Facebook pada Selasa, para pegawainya di Pusat Penghantaran Udara Changi dan Pusat Transit Pos Udara (Kargo Udara Changi) mengesan beberapa bungkusan mencurigakan ke Singapura antara 10 September dan 6 Oktober lalu.

Bungkusan pertama yang dikesan pada 10 September lalu mengandungi 3,200 pil dan tidak diisytiharkan manakala bungkusan kedua dikesan pada 13 September mengandung 3,500 pil diisytiharkan sebagai 'produk kesihatan'.

Sebanyak 12 pil ivermectin dikesan pada 2 Oktober lalu, bersama-sama 2,000 pil hydroxycloroquine dan 2,048 pil mycophenolate mofetil.

Bungkusan terakhir yang dikesan pada 6 Oktober mengandungi 2,000 pil ivermectin dengan tiada sebarang pengisytiharan dibuat.

"Barang import yang dirampas belum lagi diluluskan oleh Penguasa Sains Kesihatan (HSA) dan percubaan itu dikesan oleh pegawai yang mendapati keanehan pada imej imbasan bungkusan itu.

"Pegawai kami kemudian merujuk hal itu kepada HSA untuk siasatan lanjut.

"HSA memandang serius terhadap sesiapa yang terbabit dalam mengimport, menjual dan membekalkan ubat-ubatan itu secara haram, termasuk ivermectin dan akan mengambil tindakan penguatkuasaan tegas terhadap individu tersebut," kata ICA.

Tambah ICA, mereka akan terus memantau sebarang percubaan untuk mengimport secara haram barang-barangan seperti ubat-ubatan tanpa kelulusan pihak berkuasa ke dalam negara tersebut bagi melindungi keselamatan komunitinya.

Pada 5 Oktober lalu, HSA menyatakan bahawa ivermectin adalah ubat preskripsi yang diluluskan di Singapura untuk merawat jangkitan ulat parasit.

"Ia bukan satu ubat-ubatan antiviral dan tidak diluluskan oleh HSA untuk digunakan bagi mencegah atau merawat Covid-19," ujar HSA. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

Singapura, ICA, HSA, ivermectin, seludup