Covid-19: Asean perlu kekal kerjasama bilateral dengan Jepun, China dan Korea


  • Benua
  • Khamis, 28 Okt 2021

ASEAN serta Asean Campur Tiga (Asean +3) - China, Jepun dan Korea - perlu meneruskan kerjasama dalam tindak balas Covid-19 di bawah kerangka kerja Asean dan secara bilateral untuk menangani pandemik itu. — Gambar hiasan/Agensi

PERDANA Menteri Thailand, Prayuth Chan o-cha menggesa Asean serta Asean Campur Tiga (Asean +3) - China, Jepun dan Korea - untuk meneruskan kerjasama dalam tindak balas Covid-19 di bawah kerangka kerja Asean dan secara bilateral untuk menangani pandemik itu.

"Kita perlu bersedia dalam semua aspek untuk menghadapi kecemasan kesihatan awam pada masa depan.

"Dalam hal ini negara anggota Asean+3 boleh membantu meningkatkan kapasiti serantau, terutamanya dari segi vaksin, ubat-ubatan, penyelidikan dan pembangunan, rizab bekalan dan peralatan perubatan yang diperlukan, serta pembangunan infrastruktur kesihatan awam," katanya ketika berucap pada Sidang Kemuncak Asean Campur Tiga ke-24.

Beliau berkata, Asean juga menyambut baik penglibatan rakan kongsi dalam pelaksanaan berkesan Kerangka Kerja Pelan Pemulihan Komprehensif Asean bagi menggalakkan daya tahan serantau untuk jangka panjang, melalui integrasi ekonomi dan ketersambungan rantaian bekalan.

"Asean menantikan pelaksanaan Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP), serta penggunaan ekonomi dan teknologi digital dengan tumpuan kepada pembinaan kapasiti untuk perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), syarikat pemula dan usahawan tempatan untuk memacu ekonomi akar umbi dan mendorong inisiatif ketersambungan ke arah hasil yang konkrit.

"Thailand bersedia untuk membangunkan Pelan Kerja Kerjasama Asean +3 yang baharu untuk 2023-2027. Penubuhan Kumpulan Wawasan Asia Timur baharu, terdiri pakar dari negara-negara Asean +3,” katanya.

Prayuth turut mencadangkan kemajuan Chiang Mai Initiative Multilateralism (CMIM) dengan inovasi kewangan untuk mengekalkan kestabilan kewangan dan monetari serta Rizab Beras Kecemasan Asean +3 untuk mengukuhkan keselamatan makanan.

Beliau berkata, mekanisme kerjasama untuk pembangunan mampan perlu dibangunkan untuk meneroka pendekatan alternatif yang bermanfaat kepada semua manusia untuk masa depan yang mampan, seperti sinergi BCG dengan dasar dan strategi hijau rakan kongsi campur tiga.

Sementara itu, pada Sidang Kemuncak Asean-Australia yang pertama, Prayuth berkata akses vaksin yang cepat, adil dan saksama kekal sebagai keutamaan terpenting.

"Asean hargai sokongan Australia dalam melaksanakan pelan tindakan yang berkaitan, seperti perkongsian maklumat mengenai penyelidikan dan pembangunan vaksin dan penubuhan platform perkongsian maklumat dan pangkalan data di peringkat serantau," katanya.

Mengenai kerjasama dalam pemulihan ekonomi, Prayuth berkata, rundingan berterusan untuk menaik taraf dan memodenkan Kawasan Perdagangan Bebas Asean-Australia-New Zealand (AANZFTA) perlu untuk memenuhi keperluan sektor swasta dan melengkapkan Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP).

Berhubung usaha mempromosikan hubungan antara rakyat, Prayuth berkata, meneroka pelaksanaan pembukaan semula sempadan perlu dibuat, sekurang-kurangnya bagi membolehkan pelajar kembali ke Australia untuk menyambung pengajian mereka.

"Selepas itu, ia mungkin boleh dikembangkan kepada sektor pelancongan di bawah langkah-langkah yang dipersetujui bersama,” katanya.

Prayuth juga menyatakan harapan untuk melihat semua penglibatan berkembang menjadi kerjasama yang membina, menyokong pemusatan Asean dan konsisten dengan objektif dan prinsip Asean Outlook mengenai Indo-Pasifik (AOIP).

"Adalah menjadi kepentingan bersama kami untuk mewujudkan persekitaran kondusif untuk mencapai pemulihan mampan dalam semua dimensi untuk manfaat rakyat. Asean berbesar hati kerana Australia telah mengulangi komitmennya terhadap pemusatan Asean serta menyokong mekanisme pimpinan Asean dan AOIP,” katanya. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram