PENDUDUK Palestin mengutuk kelulusan Israel untuk membina kira-kira 3,000 penempatan baharu di Tebing Barat.
Seorang pegawai pertahanan Israel berkata, kelulusan awal adalah untuk membina 1,344 unit rumah seterusnya menambah 1,800 unit lagi.
Badan bukan kerajaan Israel, Peace Now turut mengesahkan kelulusan ini dan ia menjadi sesuatu yang bertentangan dengan kritikan pentadbiran Presiden Amerika Syarikat, Joe Biden.
Presiden Palestin, Mahmoud Abbas menyeru masyarakat antarabangsa untuk mengambil pendirian tegas menentang keputusan dibuat Israel.
Di bawah undang-undang antarabangsa, penempatan di wilayah Palestin adalah tidak dibenarkan namun kerajaan Israel berterusan membina penempatan.
“Kami menyeru pihak berkuasa Palestin dan semua pihak antarabangsa untuk mengambil tindakan dan menghentikan pendudukan Israel serta usaha membesarkan penempatan haram di tanah kami,” kata jurucakap Hamas, Hazem Qassem.
Abbas berkata, keputusan itu menjadi satu mesej yang menghina usaha petadbiran Amerika Syarikat.
Israel mula mengembangkan penempatan secara agresif ketika pemerintahan Donald Trump dan merancang untuk membina 12,000 buah rumah pada 2020.
Sebelum itu, Setiausaha Amerika Syarikat, Antony Blinken dikatakan membantah rancangan itu dan ia diluahkan menerusi panggilan telefon dengan Menteri Pertahanan Israel, Benny Gantz. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram