AMERIKA Syarikat (AS) pada Selasa menyuarakan kebimbangan terhadap keputusan Israel untuk membina penempatan haram di Tebing Barat, dan menegaskan ia akan "menentang keras" tindakan sedemikian.
Kritikan oleh pentadbiran Presiden Joe Biden itu adalah antara yang paling lantang dalam beberapa tahun ke atas Israel selepas pemimpin terdahulu, Donald Trump memberi lampu hijau kepada penempatan di tanah yang dijajahi itu.
“Kami amat bimbang akan rancangan kerajaan Israel untuk membina beribu-ribu unit penempatan.
“Kami menentang sekeras-kerasnya penambahan penempatan itu, yang sama sekali tidak konsisten dengan usaha meredakan ketegangan dan memastikan ketenangan, dan ia merosakkan prospek penyelesaian antara dua negara itu.
"Kami juga melihat rancangan untuk pengesahan retroaktif pos haram sebagai tidak boleh diterima," kata jurucakap Jabatan Negara, Ned Price kepada pemberita.
Price bagaimanapun berkata, keputusan itu tidak akan menjejaskan hubungan dengan Israel tetapi menyatakan bahawa AS akan membangkitkan isu itu dengan sekutu rapatnya.
Kementerian perumahan dan pembinaan di bawah Perdana Menteri, Naftali Bennett, seorang sayap kanan yang rapat dengan pergerakan penempatan yang mengetuai pakatan dengan golongan sentris, pada Ahad mengumumkan tender untuk pembinaan 1,355 rumah di Tebing Barat.
Perdana Menteri Palestin, Mohammed Shtayyeh telah menggesa Washington untuk "berhadapan" dengan Israel mengenai pencerobohan itu. — AFP
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram