Kemboja beri pengecualian kuarantin pelancong asing lengkap divaksin


  • Benua
  • Rabu, 27 Okt 2021

PENGECUALIAN kuarantin juga akan dilaksanakan di Siem Reap, wilayah yang terkenal dengan Taman Arkeologi Angkor pada Januari 2022. — Agensi

KEMBOJA akan mengecualikan kuarantin hotel kepada pelancong asing lengkap divaksin yang melawat ke destinasi pelancongan yang dibenarkan, mulai akhir November, kata Menteri Pelancongan, Thong Khon pada Selasa.

Mulai 30 November, pelancong antarabangsa lengkap divaksin, yang melawat Sihanoukville dan bandar pulau Koh Rong di wilayah pesisir pantai Preah Sihanouk dan Dara Sakor Resort di wilayah pesisir pantai Koh Kong, akan dibenarkan tinggal dan melawat destinasi pelancongan selamat itu untuk lima hari tanpa perlu menjalani kuarantin hotel, lapor Xinhua memetik Khon dalam satu kenyataan.

Mereka akan dibenar meninggalkan destinasi pelancongan selamat apabila ujian tindak balas rantai polimerase (PCR) pada hari kelima menunjukkan keputusan negatif Covid-19, tambahnya.

Khon berkata, dasar itu juga akan dilaksanakan di Siem Reap, wilayah yang terkenal dengan Taman Arkeologi Angkor pada Januari 2022.

"Pelancong yang masuk mesti telah menerima vaksin penuh sekurang-kurangnya 14 hari sebelum ketibaan mereka ke Kemboja.

"Sebaik tiba di lapangan terbang, mereka dikehendaki menjalani ujian pantas untuk Covid-19 dan jika keputusannya negatif, mereka bebas melakukan perjalanan di destinasi pelancongan berkenaan," katanya.

Tambah Thong Khon, semua perniagaan pelancongan di zon pelancongan selamat itu akan dinasihatkan untuk mematuhi prosedur operasi standard dan peraturan keselamatan pelancongan.

Pelancong asing boleh memohon visa pelancong di pejabat kedutaan atau konsulat luar negara atau memohonnya menerusi e-visa dengan mematuhi syarat-syarat yang telah ditetapkan.

Sehingga 25 Oktober, negara itu telah memberikan sekurang-kurangnya satu dos vaksin Covid-19 kepada 13.67 juta orang, atau 85.46 peratus daripada 16 juta penduduknya, kata Kementerian Kesihatan (KKM).

Daripada jumlah itu, 13 juta orang atau 81.3 peratus, telah diberi vaksin penuh dengan dua suntikan, dan 1.72 juta, atau 10.8 peratus, telah mengambil dos penggalak, tambah KKM.

Kemboja melaporkan 112 kes baharu Covid-19 semalam, menjadikan keseluruhan kes nasional kepada 118,000, kata KKM, sambil menambah lapan lagi kematian telah dilaporkan, menjadikan jumlah kematian kepada 2,751. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram