Malaysia dikecualikan kuarantin untuk melancong di Thailand


  • Benua
  • Jumaat, 22 Okt 2021

PRAYUTH memberitahu, Thailand menambah senarai itu berbanding 10 negara sebelum ini bagi menghidupkan kembali sektor pelancongan di sana. — Agensi

MALAYSIA tersenarai dalam 46 negara dan wilayah berisiko rendah yang akan dikecualikan menjalani kuarantin untuk melancong di Thailand mulai 1 November.

Selain Malaysia, antara negara lain yang tersenarai adalah Australia, Kemboja, China, Hong Kong, Jepun, New Zealand, Arab Saudi, Singapura, Amerika Syarikat, dan Britain.

Perdana Menteri Thailand, Prayuth Chan o-cha berkata, pihaknya menambah senarai itu berbanding 10 negara sebelum ini bagi menghidupkan kembali sektor pelancongan di Thailand.

'Kita perlu bergerak pantas, sebelum ini hanya 10 negara yang disenaraikan.

"Jika kita menunggu sehingga semuanya sempurna, kita mungkin sudah terlambat. Pelancong boleh memutuskan untuk berkunjung ke negara lain,” katanya.

Beliau berkata demikian menerusi hantaran di laman sosial Facebook rasminya pada Khamis.

Prayuth pada awal Oktober berkata, pembukaan semula pintu negara untuk negara-negara berisiko rendah adalah langkah pertama yang penting untuk menjana kembali punca pendapatan.

Katanya, senarai negara dan wilayah akan dikemas kini pada 1 Disember dan 1 Januari oleh Pusat Pentadbiran Situasi Covid-19 (CCSA).

Di bawah pengaturan perjalanan bebas kuarantin, pelancong lengkap vaksinasi yang tiba menerusi perkhidmatan udara dan diuji negatif Covid-19 bebas mengunjungi provinsi lain di negara ini.

Menurut Kementerian Luar Thailand, pengembara mesti lengkap divaksin, sekurang-kurangnya 14 hari sebelum melakukan perjalanan.

"Mereka mesti tinggal di negara dan wilayah yang layak sekurang-kurangnya 21 hari berturut-turut.

"Sejurus tiba di Thailand, mereka perlu mengambil ujian RT-PCR dan perlu menunggu keputusan di hotel terpilih dalam tempoh sehari semalam atau sehingga keputusan negatif diperoleh," katanya.

Tambahnya lagi, pelancong yang tidak divaksin dan tiba dari negara yang tidak termasuk dalam senarai perlu menjalani kuarantin 10 hari di hotel Kuarantin Alternatif (AQ) dengan keputusan ujian RT-PCR negatif dalam tempoh 72 jam sebelum melakukan perjalanan.

Mereka perlu menjalani dua ujian RT-PCR semasa ketibaan dan pada hari kelapan atau kesembilan.

Mulai 1 November, semua pelancong yang memasuki Thailand wajib membeli insurans perubatan dengan perlindungan minimum AS$50,000 (RM207,875).

Pelancong juga perlu mempunyai keputusan ujian RT-PCR Covid-19 negatif dalam masa 72 jam sebelum melakukan perjalanan.

Sementara itu,, menurut Royal Gazette yang dikeluarkan lewat Khamis, Thailand akan membuka semula Bangkok dan destinasi pelancongan utama lain.

Destinasi itu termasuk Hua Hin, Pattaya, Krabi, Koh Chang dan beberapa daerah di Chiang Mai di bawah program ‘sandbox’, mulai 1 November.

Perintah berkurung waktu malam di kawasan ini akan ditarik balik bermula bulan depan, namun minuman keras masih dilarang. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram