Thailand longgar sekatan, sasar kemasukan pelancong bulan depan


  • Benua
  • Ahad, 24 Okt 2021

MULAI 1 November, Thailand bakal menyambut kedatangan pelawat yang lengkap vaksinasi Covid-19. — Agensi

THAILAND menyasarkan menarik lebih satu juta pelancong bermula November hingga Mac, susulan langkah kerajaan mengecualikan kuarantin kepada pengunjung dari 46 negara dan wilayah mulai 1 November.

Dalam satu kenyataan, Jurucakap Kerajaan Thanakorn Wangboonkongchana berkata Pihak Berkuasa Pelancongan Thailand (TAT) berharap dapat menyaksikan pemulihan berbentuk lekuk V.

"Diharapkan juga aktiviti pelancongan tahun depan menghasilkan sekurang-kurangnya 50 peratus dari pendapatan diperoleh pada 2019 (sekitar 2 trilion baht) dan setidak-tidaknya 80 peratus dari pendapatan yang diperoleh pada 2019 untuk tahun 2023," katanya dalam satu kenyataan.

Pada 2019, Thailand menerima hampir 40 juta pelawat asing yang membelanjakan 1.91 trilion baht.

Dalam usaha mengekang penularan Covid-19, Thailand mengenakan syarat kuarantin yang ketat. Tahun lepas, ketibaan pelancong asing menyusut 83 peratus kepada 6.7 juta dan kutipan daripada perbelanjaan pelawat luar negara berjumlah 332 bilion baht.

Mulai 1 November, Thailand bakal menyambut kedatangan pelawat yang lengkap vaksinasi Covid-19 dari 46 negara dan wilayah berisiko rendah termasuk Malaysia dan mereka dikecualikan menjalani kuarantin.

Senarai negara itu dikeluarkan Pusat Pentadbiran Situasi Covid-19 (CCSA) dan akan dikemas kini pada 1 Disember dan 1 Jananuari.

Di bawah pengaturan perjalanan bebas kuarantin, pelancong lengkap vaksinasi yang tiba menerusi perkhidmatan udara dan diuji negatif Covid-19 bebas mengunjungi provinsi lain di negara ini.

Semua pelancong wajib membeli insurans perubatan dengan perlindungan minimum US$50,000 dan mempunyai keputusan ujian RT-PCR Covid-19 negatif dalam masa 72 jam sebelum melakukan perjalanan.

Dalam tempoh 24 jam lepas, Thailand merekodkan 9,351 kes baharu Covid-19 dan 56 kematian, menjadikan jumlah jangkitan di negara ini sebanyak 1,850,482 kes manakala korban seramai 18,755. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

Thailand, Pelancong, sekatan, longgar, Covid-19