Pewaris Samsung disabit kesalahan salah guna dadah


  • Benua
  • Selasa, 26 Okt 2021

JAE-YONG tiba di Mahkamah Daerah Seoul, Korea Selatan pada 12 Oktober lalu. — AFP

NAIB pengerusi kumpulan Samsung, Lee Jae-yong pada Selasa didenda sebanyak AS$60,000 (RM249,000) atas kesalahan menyalahgunakan dadah anestetik jenis propofol.

Menurut seorang jurucakap, hukuman berkenaan diputuskan oleh Mahkamah Daerah Seoul.

Jumlah denda berkenaan hanya kira-kira 0.0006 peratus daripada jumlah kekayaan milik Jae-yong dianggarkan bernilai AS$10.2 bilion (RM42.3 bilion).

Jae-yong, didapati bersalah mengambil dadah anestetik itu sebanyak berpuluh kali dari sebuah klinik pembedahan plastik di Seoul sejak beberapa tahun lalu.

Propofol merupakan sejenis anestetik perubatan tetapi kadang-kala digunakan secara rekreasi malah pemberian dos secara berlebihan dadah itu didakwa menjadi punca kematian bintang pop, Michael Jackson pada 2009.

Penggunaan dadah berkenaan dilihat sebagai kesalahan kecil di Korea Selatan.

Pihak pendakwaan pada mulanya mencadangkan beliau didenda 50 juta won (RM177,812) bawah dakwaan ringkas iaitu satu prosedur melibatkan kes kurang serius tanpa perlu dibawa ke mahkamah.

Bagaimanapun, mahkamah menolak cadangan pihak pendakwaan dan mengarahkan perbicaraan diadakan.

"Kuantiti disuntik adalah sangat tinggi dan jenayah dilakukan itu bukan ringan dengan mengambil kira tanggungjawab sosial yang dipikul defendan.

"Bagaimanapun, beliau mengaku mengambil suntikan itu dan tidak pernah disabitkan dengan jenayah tersebut sebelum ini," kata Hakim Jang Young-chae menurut laporan agensi berita Yonhap.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman denda 70 juta won (RM248,938) ke atas Jae-yong dan membayar denda sebanyak 17 juta won (RM60,456) dalam bentuk aset.

Hakim turut menasihati Jae-yong supaya menunjukkan teladan baik yang tidak memalukan anak-anaknya.

Jae-yong dilaporkan tidak melayan pertanyaan wartawan ketika memasuki kamar perbicaraan.

Pada permulaan perbicaraan, awal Oktober, Jae-yong memohon maaf kepada mahkamah 'kerana menimbulkan masalah serta kebimbangan atas hal peribadi beliau', namun mendakwa suntikan itu adalah 'untuk tujuan perubatan.'

Dalam pada itu, Samsung Electronics enggan memberikan sebarang komen lanjut.

Meskipun hukuman denda berkenaan dilihat tidak signifikan terhadap Jae-yong, kes tersebut tetap memberi kesan ke atas perhubungan awam Samsung dan Jae-yong yang dibelenggu isu undang-undang termasuk dakwaan skandal rasuah selama lima tahun. — AFP

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

Lee Jae-yong, Samsung, propofol, dadah, hukuman, denda