Isu Myanmar ujian buat ASEAN


  • Benua
  • Selasa, 26 Okt 2021

TAHANAN junta Myanmar bersorak gembira selepas dibebaskan pada 19 Oktober lalu. — AFP

PERDANA Menteri Thailand, Prayuth Chan o-cha menyatakan isu Myanmar adalah ujian terhadap kemampuan ASEAN dalam menangani masalah dalaman blok berkenaan.

Jelas beliau, peranan konstruktif ASEAN dalam menangani situasi tersebut adalah sangat penting.

"Tindakan kita dalam perkara terbabit mencerminkan kredibiliti ASEAN di mata masyarakat antarabangsa,” katanya ketika berucap pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-38 dan ke-39 serta sidang-sidang kemuncak berkaitan menerusi sidang video pada Selasa.

Tambah Prayuth, Thailand mahu melihat keamanan serta kestabilan di Myanmar dan menyokong pelaksanaan Konsensus Lima Perkara untuk manfaat rakyat negara itu serta rantau ini secara keseluruhannya.

Beliau berharap duta khas ASEAN boleh melawat Myanmar tidak lama lagi.

"Ini akan menjadi langkah pertama yang penting dalam proses membina keyakinan dengan matlamat menggalakkan dialog dalam kalangan pihak-pihak yang terlibat di Myanmar.

"Menamatkan keganasan dan penyelesaian konflik secara aman melalui dialog serta rundingan dengan semua pihak yang terlibat. ASEAN perlu menyediakan bantuan kemanusiaan kepada semua pihak," ujarnya.

Prayuth berkata, Thailand yakin terhadap kemampuan blok 10 negara itu termasuk Myanmar untuk bersama-sama mengatasi semua cabaran dengan berbekalkan semangat keluarga ASEAN.

Beliau berharap Myanmar akan mempercayai ASEAN untuk membantu negara tersebut mencapai keamanan dan keharmonian selain mengembalikan proses demokrasi demi kepentingan rakyat Myanmar serta rantau Asia Tenggara.

Sejak kerajaan pilihan rakyat, Aung San Suu Kyi digulingkan junta pada 1 Februari lalu, berlaku rusuhan dalaman di Myanmar dengan hampir 1,000 orang awam terbunuh akibat bertempur dengan tentera kerajaan junta. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

Thailand, ASEAN, Myanmar, Prayuth Chan o-cha