Covid-19, wakil Asean bincang agenda pulih ekonomi serantau


  • Benua
  • Selasa, 26 Okt 2021

SIDANG Kemuncak Asean ke-38 dan ke-39 akan berlangsung sehingga Khamis secara maya. — AFP

NEGARA anggota Asean pada Selasa memulakan sidang kemuncak ke-38 dan ke-39nya secara maya, dengan Brunei selaku pengerusi, dan bakal menumpukan kepada agenda memerangi pandemik Covid-19 dan menggalakkan pemulihan ekonomi.

Sidang kemuncak Asean, bertemakan "We Care, We Prepare, We Prosper," dijangka membincangkan beberapa isu termasuk mengukuhkan lagi daya tahan Komuniti Asean ke arah pemulihan serantau daripada pandemik.

Selain itu, sidang berkenaan juga akan menyentuh mengenai meningkatkan kesediaan Asean dalam menangani cabaran bersama; merebut peluang baharu untuk mengejar kemakmuran bersama; dan mengekalkan kerjasama ke arah mencapai matlamat jangka panjang serantau.

Berlangsung hingga Khamis, Sidang Kemuncak Asean ke-38 dan ke-39 serta sidang-sidang kemuncak berkaitan itu akan turut disertai pemimpin rakan dialog Asean, termasuk China, Jepun, Korea Selatan, India, Amerika Syarikat, Australia dan Rusia.

Ditubuhkan pada 1967, Asean dianggotai Brunei, Kemboja, Indonesia, Laos, Malaysia, Myanmar, Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam. Brunei adalah pengerusi Asean untuk 2021. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

asean, sidang kemuncak, brunei, covid-19, ekonomi