ISRAEL mengundang kecaman antarabangsa apabila mengeluarkan arahan ketenteraan dengan menyenaraikan enam kumpulan hak asasi manusia Palestin sebagai organisasi pengganas.
Tindakan Israel itu pantas mendapat kutukan daripada pihak berkuasa Palestin, kumpulan hak asasi manusia dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Kementerian Pertahanan Israel pada Jumaat mengaitkan kumpulan itu Liberation of Palestine (PFLP), gerakan sayap kiri sebuah parti politik yang melakukan serangan terhadap Israel.
Antara kumpulan lain yang tersenarai termasuk Al-Haq, Addameer, Pertahanan kanak-kanak Antarabangsa Palestin, Pusat Penyelidikan dan Pembangunan Bisan, Jawatankuasa Kesatuan Wanita Palestin dan Jawatankuasa Kesatuan Agrikultur.
Kementerian itu menuduh kesemua kumpulan itu sebagai rangkaian organisasi yang aktif menyamar di sebalik misi kemanusiaan.
“Mereka dikawal oleh pemimpin atasan PFLP dan merekrut keahlian termasuk beberapa pihak yang terbabit dalam aktiviti keganasan,” kata kementerian itu.
Kementerian itu juga menuduh kumpulan berkenaan berfungsi sebagai sumber utama yang membiayai PFLP dan menerima sejumlah wang yang agak besar daripada negara Eropah dan organisasi antarabangsa.
Pertubuhan hak asasi antarabangsa, Amnesty International dan HRW berkata tindakan Israel itu sebagai satu serangan terhadap pergerakan hak asasi antarabangsa.
PBB dalam kenyataannya juga berkata pihaknya mengambil maklum terhadap pengumuman rejim itu.
Jurucakap Jabatan Negara Amerika Syarikat, Ned Price berkata, pihaknya tidak dimaklumkan mengenai perkara itu.
“Kami akan berhubung dengan Israel untuk dapatkan lebih banyak maklumat tentang ketetapan itu,” kata Price. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram