Penyokong berkempen awal, lobi calon Presiden Indonesia 2024


  • Benua
  • Jumaat, 22 Okt 2021

GERAKAN kempen awal yang dilakukan penyokong parti politik di Indonesia. — Agensi

KEMPEN bakal calon pilihan raya Presiden Indonesia sudah bermula awal di peringkat akar umbi walaupun pemilihan tidak akan dilakukan sehingga 2024.

Perkara itu dilakukan sebilangan kumpulan penyokong yang secara terbuka menyuarakan sokongan kepada calon mereka.

Golongan pemerhati melihat langkah itu sebagai usaha meraih sokongan akar umbi bagi menunjukkan calon memiliki standard untuk bertanding.

Dalam persaingan jawatan tertinggi itu, Gabenor Jakarta, Anies Baswedan, 52, mendapat sokongan sebuah kumpulan yang dikenali National Alliance for Indonesia's Welfare.

Kumpulan itu berikrar untuk memastikan Anies mengisi kerusi Presiden Indonesia yang seterusnya.

Langkah sama dilakukan penyokong bakal calon berpotensi lain seperti Gabenor Jawa Tengah, Ganjar Pranowo, 52, yang mendapat sokongan Friends of Ganjar.

Seorang lagi bakal calon, Speaker Parlimen, Puan Maharani, 48, pula mendapat dukungan kumpulan Gema Puan, iaitu rujukan jelas dengan cogan kata 'perjuangan' membantu orang lain bergema di seluruh negara.

Bagaimanapun, penganalisis dari Universitas Paramadina, Jakarta, Indonesia, Dr Djayadi Hanan memberitahu, kumpulan penyokong bersekutu secara langsung atau tidak langsung dengan calon yang mereka sokong.

"Ini adalah fenomena di Indonesia. Mereka mahu menunjukkan calon Presiden yang mereka sokong mendapat sokongan akar umbi yang kuat.

"Ini adalah kempen awal oleh barisan calon yang ingin bertanding pada 2024," katanya.

Tambahnya lagi, penyokong aspirasi individu dari seluruh negara akan menghubungi kumpulan yang membuat perisytiharan itu.

Jelasnya hasil gerakan awal yang dilakukan akan memperkuatkan pangkalan sokongan.

"Adalah jelas calon perlu menolak kumpulan itu. Ini berikutan masing-masing memegang jawatan di sektor awam dan sewajarnya lebih fokus pada pekerjaan dan bukan pada cita-cita," ujarnya.

Sementara itu, penganjur yang menyokong Anies sebagai Presiden, Dani Kusuma, berkata, kumpulannya akan mengadakan siri jelajah ke seluruh negara untuk mempromosikan Gabenor Jakarta itu.

"Anies sering berada di antara tiga nama teratas dalam kaji selidik populariti, berikutan pencapaiannya, yang merangkumi usaha mengintegrasikan sistem pengangkutan Jakarta.

"Beliau juga membangunkan ruang yang lebih luas untuk pejalan kaki dan menaik taraf taman bandar menjadi tempat yang dicari bagi penduduk untuk bersantai," jelasnya.

Penyelaras kumpulan yang menyokong Puan, Daddy Palgunadi, pula berkata, pemilih di akar umbi 'terpesona' oleh personaliti yang merendah diri serta gaya kerjanya dengan tenang.

Katanya, Puan tidak pernah cuba meningkatkan imej di mata masyarakat dan juga tidak mempromosikan dirinya di media sosial.

Mazdjo Pray, iaitu penganjur di sebalik deklarasi sokongan kepada Ganjar turut memberitahu bahawa Gabenor Jawa Tengah itu telah memanfaatkan media sosial dengan berkesan sebagai alat untuk membantu pekerjaannya.

Jeasnya, Ganjar tidak membiarkan aduan penduduk Jawa Tengah begitu saja tetapi sebaliknya sering melawati daerah untuk selesaikan masalah.— Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram