Terbuka Denmark: Axelsen menanti Zii Jia di suku akhir


  • Podium
  • Jumaat, 22 Okt 2021

ZII Jia bakal bertemu kembali dengan lawan semasa final All England 2021 yang juga nombor dua dunia, Victor Axelsen dari Denmark. — The Star

MALAYSIA berjaya mara ke suku akhir Terbuka Denmark 2021 setelah pemain perseorangan utama negara, Lee Zii Jia berjaya menewaskan rakan senegara, Liew Daren.

Zii Jia menundukkan pemain nombor 37 dunia itu menerusi kemenangan straight set 21-11, 21-14 dalam pusingan kedua kejohanan pada Khamis.

Melangkah ke suku akhir, pemain berusia 22 tahun itu bakal bertemu kembali dengan lawan semasa final All England 2021 yang juga nombor dua dunia, Victor Axelsen dari Denmark.

Axelsen berjaya menempah tempat ke suku akhir selepas menyingkirkan Lakhsya Sen dari India 21-15, 21-7.

Terdahulu dalam aksi All England 2021 Mac lalu, pemain negara kelahiran Kedah itu menang 30-29, 20-22, 21-9 ke atas Axelsen untuk merangkul gelaran juara kejohanan badminton tertua dunia itu di Birmingham.

Dalam perkembangan lain, dua gandingan beregu lelaki negara, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi dan Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani juga berjaya menggalas tugas mara le suku akhir Terbuka Denmark.

Yew Sin-Ee Yi berjaya mara ke pusingan itu selepas menewaskan Alexander Hall-Adam Hall dari Scotland 21-17, 21-11 untuk menempah slot bertemu gandingan dari Jerman Mark Lamfuss-Marvin Seidel.

Lamfuss-Seidel sebelum itu mengalahkan Lee Jhe-Huei-Yang Po-Hsuan dari Chinese Taipei, 21-18, 21-13 pada pusingan kedua.

Gandingan Sze Fei-Nur Izzuddin pula mempamerkan aksi mengagumkan apabila mengecewakan pasangan pilihan ketujuh dari India, Satwiksairaj Rankireddy-Chirag Shetty setelah gandingan muda negara itu mencatat kemenangan mengejutkan 14-21, 21-15, 21-15.

Tugas berat begitu pun menanti Sze Fei-Nur Izzuddin kerana bakal bertemu pilihan keempat Fajar Alfian-Muhammad Rian Ardianto.

Pasangan Indonesia itu menyingkirkan gandingan India, M R Arjun-Dhruv Kapila 21-15, 17-21, 21-12.

Dalam kategori beregu campuran, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing meneruskan momentum baik ketika menundukkan pasangan Korea Selatan, Ko Sung Hyun-Eom Hye Won 18-21, 21-18, 21-13.

Kian Meng-Pei Jing akan menentang Yuta Watanabe-Arisa Higashino dari Jepun selepas pasangan pilihan keempat itu menewaskan Rinov Rivaldy-Pitha Haningthyas Mentari dari Indonesia, 21-13, 22-20.

Perjalanan beregu profesional negara Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie di Denmark pula berakhir selepas tersingkir daripada pertandingan oleh pasangan pilihan ketiga Praveen Jordan-Melati Daeva Oktavianti dari Indonesia, 21-14, 21-12.

Nasib juga tidak menyebelahi pemenang pingat gangsa Olimpik Tokyo, Aaron Chia-Soh Wooi selepas gandingan itun tewas 21-19, 21-13 kepada pasangan Jepun Akira Koga-Taichi Saito. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram