MGRC-Medifirst perluas ujian saringan genetik di Indonesia


  • Bizz
  • Jumaat, 22 Okt 2021

KERJASAMA dua syarikat itu akan menyaksikan Medifirst menawarkan ujian saringan genetik Malaysia Genomics di Indonesia. — Gambar hiasan/The Star

BAGI menyediakan akses kepada ujian saringan genetiknya di Indonesia, Malaysian Genomics Resources Centre Berhad (MGRC) menjalin kerjasama dengan pengedar produk perubatan dan farmasi Medifirst Sdn Bhd.

Ketua Pegawai Eksekutif MGRC, Sasha Nordin berkata, dengan pengalaman Medifirst dalam pengedaran produk perubatan dan farmaseutikal di Indonesia dan Malaysia, kerjasama itu akan menyaksikan Medifirst menawarkan ujian saringan genetik Malaysia Genomics di Indonesia.

Ia antara lain melalui doktor dan pakar penjagaan primer di rangkaian hospital dan pusat perubatannya.

"Kami akan bekerjasama dengan Medifirst untuk memastikan penyampaian ujian saringan genetik kami melalui saluran penjagaan kesihatan profesional di seluruh Indonesia.

"Dengan mengenal pasti kemungkinan risiko kesihatan hasil daripada pemeriksaan genetik, pesakit dapat merancang dengan doktor mereka mengenai cara-cara untuk mengurangkan risiko penyakit menggunakan pilihan pencegahan, pemantauan dan rawatan yang tersedia," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Sementara itu, Pengarah Medifirst, Datuk Yap Kon Min berkata, terdapat 100 doktor yang menunggu untuk menggunakan ujian saringan genetik Malaysian Genomics bagi membantu pesakit membuat keputusan yang lebih tepat untuk menjaga kesihatan mereka.

Ujian saringan genetik Malaysian Genomics menggabungkan teknologi inovatif dengan pengetahuan genomik canggih untuk mengenal pasti dan menilai penanda genetik yang diketahui berkaitan dengan risiko kesihatan, termasuk risiko genetik berkaitan kerentanan dan sejauh mana seriusnya jangkitan Covid-19, barah, penyakit kardiovaskular, gangguan perkembangan pada kanak-kanak, malah reaksi buruk terhadap ubat-ubatan preskripsi. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

Medifirst, MGRC, genetik