Lancar peluru berpandu, Korea Utara dikecam buat provokasi baharu


  • Benua
  • Khamis, 21 Okt 2021

GAMBAR yang diambil pada Selasa dan dikeluarkan agensi berita KCNA pada Rabu, menunjukkan peluru berpandu dilancarkan dari kapal selam di Korea Utara. — Agensi

PERWAKILAN negara Barat dalam Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sepakat mengutuk tindakan Korea Utara melancarkan peluru berpandu balistik dari sebuah kapal selam pada Selasa, yang disifatkan sebagai provokasi baharu.

Mereka menyelar perkembangan terbaharu program persenjataan Korea Utara itu, ketika bercakap kepada media sebelum mesyuarat tertutup Majlis Keselamatan yang dipanggil secara tergempar oleh Washington dan London, pada Rabu.

Perwakilan terbabit tidak menyentuh soal kemungkinan majlis itu mengenakan sekatan baharu atau mengambil tindakan bersama, namun menegaskan akan menggesa agar sekatan antarabangsa yang sedia ada dilaksanakan dengan lebih berkesan.

Selepas mesyuarat itu tamat, kedua-dua pihak China dan Rusia yang juga anggota tetap Majlis Keselamatan begitupun tidak memberikan sebarang kenyataan.

Menurut diplomat yang enggan dikenali, tiada anggota Majlis Keselamatan yang mengusulkan supaya badan antarabangsa itu mengeluarkan pernyataan bersama.

Sebelum ini, diplomat memaklumkan bahawa pada mesyuarat tergempar secara tertutup yang diadakan 1 Oktober lalu, selepas Korea Utara melancarkan ujian peluru berpandu, Perancis mengusulkan satu pernyataan bersama diluluskan tetapi ditolak oleh Beijing dan Moscow.

"Kami mengutuk sekeras-kerasnya tindakan provokatif itu yang jelas melanggar resolusi Majlis Keselamatan PBB," kata perwakilan Ireland, Geraldine Byrne Nason.

Katanya, pelancaran peluru berpandu dari kapal selam itu 'menunjukkan' kemajuan berterusan program nuklear dan balistik Korea Utara yang telah menyatakan cita-citanya untuk memiliki keupayaan nuklear berasaskan laut.

Beliau berkata, Korea Utara mesti serta-merta menamatkan tindakannya yang boleh menggugat kestabilan, sekali gus mengambil langkah konkrit untuk menghentikan program nuklear, peluru berpandu balistik dan senjata pemusnah massa (WMD) lain dengan sepenuhnya serta boleh diverifikasikan.

"Pelancaran terbabit jelas menunjukkan sekatan PBB harus dilaksanakan secara berkesan dan sepenuhnya, selain keperluan mendesak untuk menangani pelanggaran sekatan oleh DPRK (singkatan nama rasmi Korea Utara)," katanya.

Perwakilan Amerika Syarikat (AS), Linda Thomas-Greenfield pula berkata, setiap kemajuan baharu dalam program peluru berpandu balistik dan senjata pemusnah massa Korea Utara, akan menjejaskan kestabilan serantau serta mengancam keselamatan dan keamanan antarabangsa.

"AS mendesak DPRK supaya tidak melakukan provokasi lebih lanjut," katanya sambil menegaskan tindakan Korea Utara itu melanggar pelbagai resolusi Majlis Keselamatan. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

Korea Utara, peluru berpandu, PBB,