Korea Utara abai sekatan PBB, lancar ujian peluru berpandu


  • Benua
  • Selasa, 19 Okt 2021

JONG-UN baru-baru ini mengatakan mahu membina kekuatan ketenteraan yang tidak boleh dikalahkan. — AP
KOREA Utara terus mencetuskan ketegangan serantau apabila melancarkan sekurang-kurangnya sebuah peluru berpandu di luar pesisir Jepun.

Pelancaran itu dibuat selepas ketua perisikan Korea Selatan, Jepun dan Amerika Syarikat (AS) mengadakan pertemuan di Seoul bagi membincangkan isu tentang Korea Utara.

Menurut Ketua Turus Bersama Korea Selatan, peluru berpandu itu dilancarkan dari pelabuhan Sinpo, utara Korea Utara. Lokasi berkenaan merupakan tempat pangkalan kapal selam Pyongyang.

Peluru berpandu berkenaan mendarat di Laut Timur atau dikenali sebagai Laut Jepun.

Sementara itu, Perdana Menteri Jepun, Fumio Kishida menyifatkan ujian itu sesuatu yang 'sangat dikesali'.

Sejak beberapa minggu kebelakangan ini, Pyongyang dilaporkan menjalankan beberapa ujian senjatanya termasuklah peluru berpandu jarak jauh dan hipersonik serta senjata anti pesawat.

Beberapa ujian tersebut dikatakan melanggar sekatan antarabangsa.

Korea Utara dikenakan larangan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) daripada menjalankan sebarang ujian berkaitan peluru berpandu serta senjata nuklear.

Wujud laporan bahawa Korea Utara berkemungkinan menguji peluru berpandu kapal selam, beberapa minggu selepas Korea Selatan mendedahkan senjata tersendirinya, namun tiada sebarang pengesahan oleh pegawai kerajaan. — Agensi