Israel halang ibu tujuh anak kembali ke pangkuan keluarga


  • Benua
  • Rabu, 20 Okt 2021

ANAK-ANAK Nasreen memegang gambarnya dan menunggu untuk kembali ke pangkuan ibu mereka pada Isnin lalu. — Agensi

SEORANG wanita Palestin yang baru-baru ini dibebaskan dari penjara Israel meminta untuk kembali ke pangkuan keluarganya di Semenanjung Gaza.

Nasreen Abu Kamil memegang kad pengenalan Israel, namun dia berkahwin dengan lelaki Palestin yang tinggal di Gaza dan memiliki tujuh orang anak.

Nasreen, yang kini tinggal di Hebron di Tebing Barat berkata, rejim pengganas Israel melarangnya berkunjung ke Gaza untuk bertemu keluarganya.

"Lima hari sebelum saya dibebaskan, saya menyerahkan surat yang menuntut untuk kembali ke Gaza.

"Tetapi mereka (Israel) menolak permintaan saya," kata wanita berusia 47 tahun itu.

Ketika ditahan di penjara Israel, Nasreen berkata, keluarganya turut dilarang untuk mengunjunginya.

Justeru, dia meminta masyarakat antarabangsa supaya dapat melakukan sesuatu untuk membantunya kembali ke pangkuan keluarganya di Gaza.

"Saya ingin kembali kepada anak-anak dan suami saya serta tidak mahu menetap di tempat lain.

"Saya meminta seluruh dunia untuk menyiasat kes saya dan memberi pertolongan kepada saya untuk bertemu anak-anak saya. Itu akan membuat saya gembira," katanya.

Dia ditangkap pada 18 Oktober 2015 dan dijatuhi hukuman enam tahun penjara atas tuduhan memberi bantuan penentangan di Gaza.

Akibat mengalami seksaan di penjara, Nasreen mendakwa, dia menghidap diabetes dan tekanan darah tinggi.

Terdahulu, enam tahanan Palestin pada 6 September lalu berjaya melarikan diri dari penjara Israel dengan menggali terowong.

Namun, rejim pengganas Israel berjaya menahan mereka semula setelah hampir seminggu bebas.

Terdapat kira-kira 4,600 warga Palestin yang ditahan di penjara Israel, termasuk 35 wanita, 200 kanak-kanak, manakala 520 lagi merupakan tahanan pentadbiran. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

Israel, Palestin, penjara