Makin ramai warga Palestin mogok lapar di penjara Israel


  • Benua
  • Ahad, 17 Okt 2021

LIMA ahli gerakan Jihad Islam antara enam tahanan yang dikawal ketat di penjara Israel. — Agensi

LEBIH ramai warga Palestin dijangka akan menyertai mogok lapar terbuka yang dimulakan oleh Jihad Islam di penjara Israel.

"Kami akan tingkatkan langkah berjaga-jaga di semua penjara mulai Selasa ketika sekumpulan tahanan baharu bergabung untuk menyertai mogok lapar, " kata Jawatankuasa Tertinggi Darurat dalam satu kenyataan bersama.

Kenyataan itu ditandatangani oleh Pergerakan Pejuang Islam Palestin (Hamas), Fatah, Parti Rakyat, Jihad Islam dan beberapa pertubuhan pembebasan Palestin yang lain.

Kenyataan itu juga memberi amaran bahawa para tahanan Palestin akan memgambil taktik lain tanpa membuat pendedahan, selain menyeru semua rakyat Palestin untuk menyokong mereka yang melakukan mogok lapar.

Sementara itu, jumlah sebenar tahanan yang menyertai mogok tersebut belum dinyatakan.

Seramai 250 tahanan dari gerakan Jihad Islam meneruskan mogok lapar pada hari keempat, sebagai protes terhadap tindakan rejim Israel yang melaksanakan hukuman penjara pada 6 September lalu, dengan kawalan ketat terhadap enam tahanan Palestin.

Lima daripadanya adalah dari gerakan Jihad Islam yang melarikan diri sebelum ditawan semula oleh rejim pengganas Israel.

Terdapat sekitar 400 tahanan Palestin dari gerakan Jihad Islam di penjara Israel.

Pada masa sama, kira-kira 4,850 tahanan Palestin yang ditempatkan di penjara Israel, termasuk 40 wanita, 225 kanak-kanak serta 40 lagi adalah tahanan pentadbiran. — Agensi

Palestin, mogok, penjara Israel