Israel lulus ribuan penempatan haram Yahudi


  • Benua
  • Jumaat, 15 Okt 2021

SEORANG lelaki Yahudi mengibarkan bendera Palestin di tapak penempatan haram di Givat Hamatos. — Agensi

SIKAP tamak negara haram Israel seakan-akan tiada penghujungnya apabila meluluskan rancangan ribuan penempatan haram di Givat Hamatos, dekat Baitulmaqdis Timur pada Rabu, sekali gus merampas sebahagian tanah milik penduduk Palestin.

Menurut aktivis Peace Now, Hagit Ofran menyifatkan kelulusan itu kononnya sebagai langkah birokrasi.

“Pengambilalihan itu diperlukan untuk memajukan rancangan itu. Tetapi rancangan itu secara keseluruhan berjalan maju dan ini adalah satu kesepakatan yang sudah selesai,” katanya.

Pengumuman rampasan tanah itu berlaku sehari selepas Menteri Luar Negeri Israel, Yair Lapid bertemu dengan wakil Presiden Amerika Syarikat (AS), Kamala Harris di Washington.

Walaupun masyarakat antarabangsa beberapa kali mengecam tindakan biadab Israel merampas dan membangunkan penempatan haram di tanah Palestin, pemimpin tertinggi Yahudi Naftali Bennet enggan mengendahkan perkara itu.

Kesatuan Eropah (EU) pada awal tahun ini berkata, pelaksanaan rancangan itu akan memutuskan hubungan antara Baitulmaqdis Timur dan Bethelem selain melemahkan rundingan penyelesaian antara dua negara.

“Semua penempatan di wilayah Palestin yang diduduki adalah haram menurut undang-undang antarabangsa.

“EU mengulangi gesaan kepada Israel untuk menghentikan pembangunan penempatan dan membatalkan keputusannya baru-baru ini,” katanya. — Agensi

Palestin, Israel, penempatan haram