TIDAK cukup dengan pembinaan penempatan haram, negara haram Israel kini bertindak membina sebuah stesen bas besar di Tebing Barat yang diduduki.
Perkara itu mendapat kecaman daripada Pejuang Islam Palestin (HAMAS) dan Pihak Berkuasa Palestin (PA).
Dalam satu kenyataan, Hamas menyifatkan pembangunan stesen bas haram itu adalah satu bentuk kejahatan dan penindasan Zionis ke atas rakyat Palestin.
"Tindakan mempercepat hubungan normalisasi antara negara penjajah Israel dan negara-negara Arab menggalakkan penjajahan Zionis untuk terus melakukan pencerobohan, kejahatan dan penindasan terhadap rakyat Palestin," katanya.
Media Israel melaporkan, Israel telah mula membina stesen bas besar di Nablus berdekatan dengan penempatan haram Yahudi.
Kementerian Luar Negeri dan Ekspatriat Palestin yang membidas tindakan negara Zionis berkata, projek itu hanya akan mengurangkan kemungkinan untuk berdamai berdasarkan visi penyelesaian dua negara.
"Projek yang terletak di antara Ramallah dan Nablus bertujuan untuk memudahkan pergerakan penduduk haram dan menghubungkan jaringan jalan penyelesaian dengan Israel.
"Ini berada dalam konteks rancangan Israel dan cubaan menjajah Tebing Barat, " katanya dalam satu kenyataan.
Kira-kira 650,000 penduduk haram Israel tinggal di 164 penempatan dan 124 pondok pengawal di Tebing Barat dan Baitulmaqsis Timur. — Agensi