FPDA bertindak sebagai kuasa penstabil serantau


  • Benua
  • Selasa, 19 Okt 2021

PESAWAT pejuang milik Singapura melakukan terbang lalu sempena ulang tahun FPDA ke-50 di Singapura pada Isnin. — AFP
PERATURAN Pertahanan Lima Negara (FPDA) bertindak sebagai kuasa penstabil di rantau yang terdedah kepada ancaman salah faham dan salah perhitungan antara negara anggota.

FPDA ditandatangani oleh Malaysia, Singapura, Australia, New Zealand dan Britain pada 1971 selepas Britain berundur dari rantau ini bagi memastikan Malaysia serta Singapura mempunyai saluran bantuan sekiranya berlaku serangan bersenjata.

Menurut Menteri Pertahanan Singapura, Ng Eng Hen, FPDA terus memenuhi keperluan pertahanan Singapura dan kekal relevan selepas 50 tahun perjanjian berkenaan ditandatangani.

"FPDA bertindak sebagai paradigma kumpulan ketenteraan inklusif yang bekerjasama untuk keamanan dan kestabilan rantau ini," katanya.

Eng Hen berkata demikian ketika menyaksikan terbang lalu dan pertunjukan kapal tentera laut oleh kelima-lima negara sempena ulang tahun ke-50 perjanjian FPDA di Bendungan Marina, Singapura pada Isnin.

Beliau disertai wakil empat negara lain iaitu Pesuruhjaya Tinggi Britain ke Singapura, Kara Owen; Pesuruhjaya Tinggi Australia ke Singapura, William Hodgman; Pesuruhjaya Tinggi New Zealand ke Singapura, Jo Tyndall dan Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Singapura, Azfar Mohamad Mustafar.

Tambah Eng Hen, latihan ketenteraan bersama yang dijalankan setiap tahun termasuk tahun ini dalam situasi pandemik Covid-19, menunjukkan komitmen kuat oleh kelima-lima negara anggota terhadap hubungan sesama mereka.

Ujar beliau lagi, perjanjian itu berubah saban tahun merangkumi kerjasama bagi ancaman tidak konvensional, bantuan kemanusiaan dan bantuan bencana.

FPDA tidak mengikat negara anggota untuk campur tangan secara ketenteraan sekiranya Singapura atau Malaysia diserang.

Sebaliknya, ia hanya menetapkan bahawa negara anggota harus segera berunding antara satu sama lain untuk memutuskan tindakan selanjutnya. — Agensi

Malaysia, Singapura, FPDA, Ng Eng Hen, ASEAN