Tidak restu perkahwinan, bapa bunuh anak, empat cucu


  • Benua
  • Selasa, 19 Okt 2021

PIHAK berkuasa sedang mengumpulkan mayat mangsa yang terkorban. — Agensi

SEORANG bapa menjadi suspek utama kepada pembunuhan dua anak perempuan dan empat cucunya apabila bertindak membakar rumah.

Polis kini giat memburu suspek, Manzoor Hussain atas dakwaan membakar rumah yang didiami dua anak perempuannya, Fauzia Bibi dan Khurshid Mai di daerah Muzaffargargh, tengah Pakistan.

Menurut polis, tindakan Manzoor itu adalah disebabkan salah anak perempuannya berkahwin dengan calon yang bukan daripada pilihannya.

Pengawai polis, Abdul Majeed juga menjelaskan suami kepada Khurshid juga maut dalam insiden kebakaran berkenaan.

Fauzia berkahwin dengan Mehboob Ahmad, 18 bulan lalu dan perkahwinan itu ditentang oleh Manzoor.

“Kejadian itu tercetus kerana perseteruan antara keluarga,” kata Abdul Majeed.

“Manzoor kini berada di kampung berhampiran.”

Suami kepada Fauzia, Ahmad memberitahu polis ketika kejadian dia tiada di rumah dan hanya mendapat tahu mengenai kejadian itu ketika pulang daripada kerja.

Ahmad berkata, anaknya berusia empat bulan meninggal dunia bersama tiga anak Khurshid yang berusia dua tahun, enam tahun dan 13 tahun.

Mengikut Pertubuhan Hak Asasi Manusia Pakistan, ratusan wanita di Pakistan dibunuh oleh ahli keluarga kerana berkahwin tanpa mendapat persetujuan. — Agensi