Suhu sejuk melampau dijangka melanda Arab Saudi, cecah sifar Celcius


  • Benua
  • Isnin, 18 Okt 2021

GAMBAR fail menunjukkan beberapa lelaki Arab menikmati salji di wilayah utara negara itu. — Agensi

ARAB Saudi dijangka dilanda cuaca suhu melampau sehingga mencecah ke paras sifar darjah Celsius pada musim sejuk yang dijangka bermula pada Disember tahun ini.

Seorang jurucakap Pusat Meteorologi Kebangsaan negara itu, Hussein Al-Qahtani memberitahu stesen televisyen satelit Al-Ekhbariya baru-baru ini bahawa petunjuk awal menunjukkan bahawa musim paling sejuk akan melanda Arab Saudi.

Beliau berkata, suhu juga kemungkinan akan jatuh di bawah sifar darjah dalam musim sejuk itu.

Katanya, dunia kini mengalami fenomena suhu ekstrem yang turut menjejaskan negara beraja tersebut.

Pada musim panas lalu, pusat meteorologi negara tersebut mencatatkan suhu 53 darjah Celsius di beberapa buah wilayah Arab Saudi, tambah Al-Qahtani.

Menurutnya lagi, hujan yang tidak dijangka juga pernah berlaku di beberapa kawasan di selatan Riyadh.

Justeru, katanya, dijangkakan negara itu menyaksikan penurunan suhu ketika musim sejuk.

Pada awal bulan ini, banyak wilayah di negara beraja tersebut menyaksikan hujan pada kadar sederhana dan lebat sehingga mencetuskan ribut petir akibat Siklon Tropika Shaheen yang melanda Oman. — Agensi