Syria bakal gubal Perlembagaan baharu


  • Benua
  • Isnin, 18 Okt 2021

PEDERSEN berkata, pihaknya bersama pemimpin Syria dalam pertemuan selama seminggu bersetuju untuk bersiap siaga dan mula merangka reformasi Perlembagaan. — Agensi

KETUA kerajaan dan pembangkang Jawatankuasa Perlembagaan Syria bersetuju untuk memulakan proses penggubalan Perlembagaan baharu, kata Utusan Khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) ke Syria pada Ahad.

Jawatankuasa itu yang terdiri daripada 45 perwakilan pemerintah Syria, pembangkang dan orang awam mempunyai mandat untuk menyusun dasar undang-undang baharu, sekali gus mengadakan pilihan raya yang dikendali PBB.

Diplomat Norway, Geir Pedersen berkata, pihaknya bersama pemimpin Syria dalam pertemuan selama seminggu bersetuju untuk bersiap siaga dan mula merangka reformasi Perlembagaan.

Pedersen berkata, wakil dari rejim al-Assad telah menolak cadangan pembangkang Syria untuk meneruskan proses tersebut pada Januari lalu.

“Sejak itu, hampir sembilan bulan saya telah melakukan rundingan antara kedua belah pihak, berusaha untuk megumpul kata sepakat mengenai kemajuan. Saya gembira akhirnya kami telah mencapai perkara itu,” katanya.

Perang selama satu dekad yang tercetus akibat pemberontakan terhadap pemerintahan rejim Bashar al-Assad, memicu krisis pelarian terbesar di dunia.

Negara jiran menampung 5.6 juta pelarian Syria, manakala negara-negara Eropah pula diduduki lebih daripada sejuta pelarian dari negara sama.

Setelah mendapat sokongan dari sekutunya Rusia, rejim al-Assad telah memulihkan sebahagian besar Syria, tetapi kawasan-kawasan penting masih berada di luar kawalannya.

Negara Turki menguasai di sebahagian besar kawasan utara dan barat laut Syria, manakala kumpulan militan Kurdish pula menguasai timur dan timur laut dengan sokongan Amerika Syarikat (AS). — Agensi

Syria, Perlembagaan, PBB,