EU puji Turki dalam pendidikan kanak-kanak pelarian Syria


  • Benua
  • Rabu, 22 Sep 2021

KANAK-KANAK pelarian Syria menghadiri kelas di Kem Pelarian Kahramanmaras, Turki pada 19 September 2019. — Getty Images

MASYARAKAT dan negara Turki mencatat kejayaan besar dalam pendidikan ratusan ribu kanak-kanak pelarian Syria, kata diplomat tertinggi Kesatuan Eropah (EU) di Turki pada Selasa.

Bercakap ketika pelancaran pembukaan sekolah di Gaziantep selatan, Nikolaus Meyer-Landrut menyifatkan, hampir 700,000 kanak-kanak Syria yang diintegrasikan ke dalam sistem pendidikan Turki adalah kejayaan besar dan unik.

Beliau berkata, EU hanya dapat membantu sebahagian daripada program sokongannya, tetapi kejayaan sebenar adalah milik Turki.

Katanya, EU telah membiayai lebih daripada 400 sekolah di seluruh Turki termasuk biaya operasi, latihan dan perkhidmatan guru.

Beliau turut mengucapkan penghargaan kepada kerajaan Turki khususnya Kementerian Pendidikan Kebangsaan serta semua pelajar dan guru.

Sementara itu, Gabenor Gaziantep, Davut Gul bercadang untuk membuka sesi persekolahan setiap minggu bermula awal penggal, dan sebanyak 41 sekolah telah berbuat demikian tahun ini.

Katanya, pembinaan 54 sekolah masih diteruskan dengan kebanyakannya dijangka siap dibina pada akhir 2021.

Umut Gur, pegawai yang bertanggungjawab dalam pembinaan sekolah berkata, seramai 1.2 juta rakyat Syria yang berumur alam persekolahan berada di bawah perlindungan sementara Turki.

Daripada jumlah itu, kira-kira 127,000 daripadanya adalah kanak-kanak prasekolah, 442,000 kanak-kanak usia sekolah rendah, 348,000 usia sekolah menengah, manakala 278,000 adalah pelajar usia pendidikan menengah.

Turki menjadi tuan rumah kepada hampir 4 juta pelarian Syria, antara jumlah terbanyak berbanding negara lain di dunia. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

Turki, kanak-kanak, pelarian