Protes ditahan tanpa bicara, lagi rakyat Palestin mogok lapar


  • Benua
  • Selasa, 28 Sep 2021

SOLIDARITI dengan tahanan Palestin di penjara Israel, di Khan Yunis, dekat Semenanjung Gaza selatan pada 27 September 2021. —Agensi

SERAMAI tujuh warga Palestin yang ditahan di penjara Israel telah melancarkan mogok lapar bagi memprotes tindakan penahanan mereka tanpa perbicaraan, kata sebuah badan bukan kerajaan (NGO) Palestin pada Isnin.

Dalam satu kenyataan, Persatuan Tahanan Palestin (PPS) berkata, dua daripada rakyat Palestin yang ditahan sedang dirawat di hospital.

“Penjajahan (Israel) yang meneruskan sikap tidak ambil peduli serta menolak permintaan untuk membebaskan mereka daripada tahanan pentadbiran itu, sekali gus memberi kesan kepada tahap kesihatan yang berbahaya,” katanya.

Dasar penahanan pentadbiran membolehkan negara haram Israel memanjangkan tempoh penahanan seseorang tanpa sebarang tuduhan atau perbicaraan.

Terdapat kira-kira 4,850 tahanan Palestin yang ditahan di penjara Zionis, manakala 520 daripadanya merupakan tahanan pentadbiran, menurut institut yang berkaitan dengan urusan tahanan.

Terdahulu, rakyat Palestin, Amin Shweiki, 61, enggan mengambil suntikan insulin sebagai tanda protes terhadap penahanannya selama berbulan-bulan tanpa sebarang pendakwaan atau perbicaraan.

Rejim pengganas Israel menahan Amin yang mengidap penyakit diabetis pada 17 Mei lalu di rumahnya, di bawah undang-undang penahanan pentadbiran.

Ia adalah sebahagian kempen penahanan (PDF) susulan daripada tunjuk perasaan yang dilakukan, bagi membantah rampasan tanah di Sheikh Jarrah dan tindakan biadab mengebom Semenanjung Gaza.

Sejak kebelakangan ini, isu berkenaan tahanan Palestin sering menjadi perhatian terutamanya selepas kejayaan enam tahanan meloloskan diri dari penjara Gilboa menerusi saluran bawah tanah. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

tahanan, Palestin, penjara