Myanmar tidak dijemput ke sidang kemuncak ASEAN


  • Benua
  • Sabtu, 16 Okt 2021

AUNG Hlaing dikecualikan daripada menghadiri sidang kemuncak ASEAN pada akhir Oktober. — AFP
KETUA junta Myanmar, Min Aung Hlaing bakal dikecualikan daripada menghadiri sidang kemuncak ASEAN pada akhir Oktober.

Menurut kenyataan dikeluarkan oleh blok tersebut, keputusan berkenaan dibuat berikutan komitmen kerajaan junta Myanmar dalam mewujudkan dialog konstruktif dalam kalangan pihak bertelagah.

Menteri Luar daripada negara anggota mencapai kata sepakat sewaktu mesyuarat tergempar pada Jumaat bahawa Aung Hlaing tidak akan dijemput ke sidang kemuncak tersebut yang bakal berlangsung pada 26 hingga 28 Oktober.

Blok tersebut mengambil pendirian tegas selepas kerajaan junta menolak permintaan untuk wakil khas mengadakan pertemuan dengan semua pihak berkaitan termasuk pemimpin yang digulingkan, Aung San Suu Kyi.

Tambah kenyataan itu, Myanmar menunjukkan 'perkembangan tidak mencukupi' berhubung pelaksanaan Konsesus Lima Perkara yang dipersetujui oleh para pemimpin ASEAN pada April lalu bagi menamatkan pergolakan berikutan rampasan kuasa di negara tersebut pada Febuari.

Beberapa negara anggota menyarankan agar Myanmar diberi ruang untuk memulihkan semula hal ehwal dalaman dan kembali kepada keadaan normal.

Katanya, beberapa negara anggota menyarankan 'Myanmar diberi ruang untuk memulihkan semula hal ehwal dalaman sejajar dengan hasrat rakyat.'

"Mengambil kira wujud permintaan sambil menjunjung prinsip tidak campur tangan anggota ASEAN terhadap hal ehwal dalam negara anggota lain, mesyuarat menerima keputusan untuk menjemput wakil bukan politik daripada negara itu pada sidang berkenaan,” menurut kenyataan itu. — AFP

Min Aung Hlaing, Myanmar, ASEAN, junta