ASEAN mahu kecualikan junta Myanmar dari sidang kemuncak


  • Benua
  • Rabu, 06 Okt 2021

PERTUBUHAN Asean dianggotai oleh sepuluh negara yang terletak di rantau Asia Tenggara. — AP

NEGARA dari rantau Asia Tenggara kini sedang mempertimbangkan cadangan untuk mengecualikan ketua junta Myanmar, Min Aung Hlaing daripada hadir ke sidang kemuncak yang akan berlangsung pada Oktober.

Perkara itu disahkan Menteri Luar Kedua Brunei, Erywan Yusof, susulan tindakan junta Myanmar yang dilihat tidak proaktif dalam menangani keadaan kacau bilau di negara itu selepas rampasan kuasa pada Februari lalu.

"Apa yang saya boleh katakan, kami sedang membincangkan mengenai perkara ini secara mendalam.

"Apa yang penting ialah untuk melihat kemajuan lima perkara secara konsesus," katanya yang dipilih sebagai perutusan khas pada Ogos lalu selepas perbincangan selama beberapa bulan.

Pertubuhan Negara Asia Tenggara (Asean) berada di bawah tekanan untuk menangani situasi bergolak dalam rampasan kuasa membabitkan tentera di Myanmar yang kemudiannya disusuli dengan tindakan keganasan.

Tetapi, sepuluh negara ahli menyuarakan rasa kecewa terhadap keengganan junta Myanmar untuk mematuhi lima perkara yang dipersetujui oleh pemimpin kumpulan berkenaan April lalu bagi menyelesaikan pergolakan di negara itu.

Ia termasuklah membenarkan kunjungan perutusan khas ke negara itu.

Situasi itu mendorong Malaysia dan negara lain, melalui panggilan video oleh Menteri Luar Asean Isnin lalu, berkemungkinan membuat keputusan untuk tidak menjemput Aung Hlaing ke sidang kemuncak berkenaan.

Erywan berkata, Myanmar telah bersetuju terhadap rancangan itu dan keengganan junta untuk mematuhinya adalah suatu tindakan terkebelakang.

Beliau berkata, perkara mengenai sama ada tindakan akan diambil pada sidang kemuncak untuk menggantung pembabitan Myanmar, ia bagaimanapun tidak dibincangkan.

Katanya, beliau bersedia untuk melawat Myanmar dan hanya menunggu program daripada junta yang mengandungi perincian kunjungannya serta individu yang akan ditemuinya nanti.

Brunei akan menjadi tuan rumah dalam mempengerusikan sidang kemuncak Asean tahun ini. — AFP

myanmar, asean, sidang kemuncak