Terbiasa cuaca panas, Lisa akui tak suka sejuk


  • Hiburan
  • Jumaat, 15 Okt 2021

LISA ketika mengunjungi Hawaii pada September tahun 2019. — Instagram

BINTANG K-Pop, Lisa Black Pink mendedahkan dirinya kurang menggemari musim sejuk kerana tidak tahan dengan cuaca dingin.

Menerusi wawancara ekslusif bersama Complex Canada, Lisa berkata, walaupun dia mengenakan beberapa helai lapisan baju sejuk yang tebal, dia masih tidak dapat menahan dirinya daripada kesejukan.

"Musim panas menjadi kegemaran saya. Saya tak suka sejuk.

"Saya dilahirkan ketika musim panas, jadi badan saya mudah berasa sejuk dengan cepat," katanya dalam temubual untuk segmen Greatest of All Time laman web itu.

Lisa berkata, musim panas bagaimanapun tidak menjadi masalah kepada dirinya kerana dia boleh menahan terik serta bahang matahari.

"Mungkin saya sudah terbiasa dengan cuaca panas kerana saya berasal dari Thailand yang beriklim tropika," tambahnya lagi.

Sementara itu, Lisa turut melahirkan rasa rindu terhadap Hawaii yang disifatkannya sebagai destinasi pelancongan paling indah pernah dikunjungi.

Ketika ditanya apakah lokasi pelancongan kegemarannya, dia tanpa ragu-ragu memilih Hawaii yang pernah dikunjungi pada September 2019.

"Saya pernah ke sana sekali dan tempat ini sangat indah dan menarik. Saya ingin ke sana lagi," kata Lisa. — Agensi

Lisa, Black Pink, Lalisa, Hawaii, musim sejuk