Kais Saied tarik semula pasport bekas Presiden Tunisia


  • Benua
  • Jumaat, 15 Okt 2021

SEORANG penunjuk perasaan membawa bendera Tunisia ketika bantahan rampasan kuasa Presiden Kais Saied. — Agensi

PRESIDEN Tunisia Kais Saied pada Khamis menegaskan bahawa beliau akan menarik semula pasport milik bekas Presiden Moncef Marzouki.

Media antarabangsa melaporkan, keputusan itu dilakukan kerana Saied kesal dengan tuntutan Moncef supaya Perancis mengakhiri sokongannya terhadap pemerintah Tunisia.

Keputusan berkaitan pasport itu diumumkan menerusi sidang media.

"Ada yang pergi ke luar negeri untuk merosakkan kepentingan Tunisia," kata Saied merujuk kepada Moncef yang menjadi Presiden bermula 2011 hingga 2014.

Beberapa hari lalu, Moncef turut serta dalam tunjuk perasaan ketika berada di Paris, yang mana beliau mendesak penggubal undang-undang di Perancis untuk tidak menyokong sistem totalirian, iaitu sistem pemerintahan yang berasaskan satu parti sahaja dan kewujudan parti-parti pembangkang tidak dibenarkan.

Pada 25 Julai lalu, Saied bertindak menggulingkan pemerintah, menggantung Parlimen dan mengambil alih kekuasaan eksekutif.

Meskipun beliau menganggap bahawa langkah itu dilakukan demi menyelamatkan negara, pengkritik menuduhnya melakukan rampasan kuasa. — Agensi

Tunisia, Kais Saeid, Moncef Marzouki