BARISAN Kabinet Perdana Menteri jepun, Yoshihide Suga meletak jawatan pada Isnin sementara pemimpin Parti Demokratik Liberal (LDP) Fumio Kishida yang baharu dipilih dijangka akan mengambil alih jawatan perdana menteri.
Kabinet pimpinan Suga telah menerajui pentadbiran sejak September 2020.
"Ini adalah titik permulaan yang sebenarnya. Saya akan terus maju dengan penuh tekad,” kata Kishida pada sidang media di ibu pejabat LDP.
Kishida, yang memenangi pemilihan kepemimpinan LDP bulan lalu akan dipilih sebagai perdana menteri pada sidang Parlimen, Isnin.
Bulan lepas, Suga menyatakan beliau tidak berhasrat untuk mencalonkan diri dalam pemilihan kepemimpinan LDP, sekali gus beliau akan melepaskan jawatan perdana menteri.
Suga juga memutuskan untuk tidak membubarkan Dewan Perwakilan untuk pilihan raya dalam waktu terdekat, mengambil kira situasi Covid-19 yang teruk ketika ini dan menyatakan bahawa pemilihan kepemimpinan LDP yang berlangsung pada 29 September tidak akan ditunda.
Beliau berkata, mahu memberi tumpuan kepada usaha memerangi pandemik Covid-19.
"Saya sedar saya tidak boleh lakukan kedua-duanya. Saya harus pilih antara satu," katanya kepada wartawan. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram