Fumio Kishida PM Jepun baharu


  • Benua
  • Isnin, 04 Okt 2021

KISHIDA memenangi pemilihan untuk memimpin LDP pada minggu lalu. — Agensi

FUMIO Kishida secara rasmi memegang jawatan sebagai Perdana Menteri baharu Jepun, menggantikan Yoshihide Suga yang mengundurkan diri setelah hanya setahun memegang jawatan tersebut.

Kishida, 64, memenangi pemilihan untuk memimpin Parti Liberal Demokratik (LDP) yang berkuasa di Jepun minggu lalu.

Beliau berdepan pelbagai cabaran termasuk pemulihan ekonomi pasca wabak selain ancaman dari Korea Utara.

Beliau juga berharap dapat membantu partinya untuk mendapatkan kembali populariti setelah gagal memenuhi tuntutan rakyat agar Jepun menolak menjadi tuan rumah pada sukan Olimpik Tokyo.

Temasya itu tetap diteruskan meskipun terdapat tentangan masyarakat mengenai kebimbangan lonjakan kes Covid-19.

Sebelum ini, Suga memutuskan untuk mengundurkan diri setelah setahun memegang jawatan Perdana Menteri disebabkan kurang mendapat sokongan dalam pengendalian wabak tersebut.

Sementara itu, Kishiada akan memimpin LDP ke pilihan raya umum yang seharusnya diadakan pada bulan November, namun laporan media tempatan berkata, beliau dijangka membuat pemilihan pada 31 Oktober.

Pada masa sama, senarai anggota Kabinet baharu di bawah Kishida akan diumumkan lewat Isnin.

"Saya rasa ini akan menjadi permulaan baharu dalam erti kata sebenar.

"Saya ingin berdepan dengan cabaran berdasarkan kemahuan dan tekad yang kuat demi masa depan," katanya.

Beliau yang kalah dengan Suga dalam pemilihan tahun lalu telah lama menanti peluang untuk menjadi Perdana Menteri.

Meskipun pengkritik menyifatkannya sebagai individu yang hambar dan membosankan, beliau sekian lama dilihat sebagai pemimpin masa depan dalam parti.

Difahamkan, beliau juga mendapat sokongan ahli politik veteran parti itu.

Namun, bagi mengekalkan sokongan mereka, Kishida mungkin harus mengikut reformasi parti dan memastikan bahawa beliau juga memenuhi unsur-unsur konservatifnya.

Sekiranya beliau gagal melakukannya, Kishida berisiko mengikut jejak langkah Suga yang tidak memegang jawatannya sebagai Perdana Menteri dalam tempoh lama.

Sebelum ini, Jepun menyaksikan enam pertukaran Perdana Menteri antara tahun 2006 hingga 2012. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

Kishida, Perdana Menteri, Jepun