Apple buang aplikasi Quran daripada App Store China


  • Benua
  • Jumaat, 15 Okt 2021

QURAN Majeed merupakan aplikasi Al-Quran paling popular di China. — Agensi

SYARIKAT teknologi terkemuka, Apple, dilaporkan membuang aplikasi Al-Quran paling popular di China, Quran Majeed selepas mendapat permintaan daripada pihak berkuasa negara itu.

Aplikasi Quran Majeed tersedia dalam App Store Apple di seluruh dunia dan mempunyai kira-kira 150,000 ulasan pengguna.

Syarikat itu bagaimanapun membuang kandungan tersebut selepas diminta pihak berkuasa China kerana didakwa mengandungi teks agama yang menyalahi undang-undang negara.

Bagaimanapun, tidak jelas sehingga sekarang apakah peraturan yang dilanggar aplikasi tersebut.

Ketika diminta untuk mengulas mengenai perkara tersebut oleh BBC, kerajaan China bagaimanapun enggan memberi sebarang komen.

Penghapusan aplikasi itu pertama kali dikesan oleh Apple Censorship, sebuah laman web yang memantau aplikasi di App Store secara global.

Parti Komunis China secara rasmi mengiktiraf Islam sebagai agama yang sah di negara itu.

Namun, China telah dituduh melanggar hak asasi manusia, malah pembunuhan beramai-ramai terhadap etnik Uyghur yang kebanyakannya beragama Islam di Xinjiang.

Menurut Quran Majeed, aplikasi itu mendapat kepercayaan lebih daripada 35 juta penduduk Islam di seluruh dunia. — Agensi

Quran Majeed, Apple, China, aplikasi, App Store