'Hawkeye' bunuh lima orang termasuk polis


  • Benua
  • Khamis, 14 Okt 2021

PIHAK polis melakukan pemeriksaan di lokasi kejadian serangan panah di tenggara Norway pada Rabu. — AFP
SERAMAI lima orang maut manakala dua lagi cedera selepas seorang lelaki menggunakan busur dan anak panah seolah-olah watak Marvel, Hawkeye dilaporkan menyerang orang awam di bahagian tenggara Norway pada Rabu.

Serangan tersebut berlaku di beberapa lokasi di pusat bandar Kongsberg.

Penyerang itu berjaya ditahan namun motif kejadian masih belum dikenal pasti. Polis bagaimanapun tidak menolak unsur pengganas dalam serangan terbabit.

Menurut kenyataan polis tempatan, penyerang ditahan di balai polis berdekatan bandar Drammen namun masih belum disahkan sama ada suspek mempunyai rekod jenayah sebelum ini.

"Berdasarkan maklumat yang kami terima, hanya seorang sahaja yang terlibat dalam serangan ini.

"Penyerang itu masih belum disoal siasat dan terlalu awal untuk memberitahu kepada umum tentang motifnya," kata pegawai polis tempatan, Oyvind Aas.

Identiti penyerang berkenaan tidak didedahkan kepada umum namun stesen penyiaran tempatan, TV2 melaporkan, individu terbabit merupakan rakyat Norway serta mempunyai sejarah perubatan.

Tambah Aas, salah seorang mangsa yang maut dalam kejadian itu adalah seorang anggota polis.

Selain itu, ujarnya, dua lagi mangsa yang cedera sedang dirawat di hospital namun keadaan mereka dilaporkan stabil. — AFP

Norway, panah, keganasan, Kongsberg, Hawkeye