Taliban gempur militan Daesh dalang serangan masjid


  • Benua
  • Isnin, 04 Okt 2021

PEJUANG Taliban mengadakan operasi menggempur militan Daesh. — AFP

TALIBAN pada Isnin mengumumkan pihaknya telah memusnahkan tempat persembunyian miltan Daesh di ibu kota Afghanistan, beberapa jam selepas serangan letupan di pintu masuk sebuah masjid yang menyebabkan lima terbunuh, disyaki angkara kumpulan itu.

Ketua jurucakap Taliban, Zabihullah Mujahid, berkata pejuang mereka melancarkan operasi terhadap pasukan Daesh di utara Kabul pada Ahad.

"Hasil operasi sangat tuntas dan berjaya itu, pusat persembunyian Daesh berkenaan musnah sepenuhnya dan kesemua ahli mereka yang berada di dalamnya juga terbunuh," kata Mujahid menerusi Twitter.

Seorang penduduk Kabul yang juga pegawai kerajaan, Abdul Rahaman memberitahu AFP bahawa "sebilangan besar" pasukan khas Taliban menyerang sekurang-kurangnya tiga rumah di kawasan kejiranannya.

"Pertempuran berlanjutan selama beberapa jam. Mereka berkata mereka sedang mengejar pejuang Daesh di kawasan itu.

"Saya tidak tahu berapa ramai yang terbunuh atau ditangkap tetapi pertempuran berlaku sengit," katanya, sambil menambah bunyi tembakan membuatnya terjaga sepanjang malam.

Operasi terbabit dilancarkan dalam tempoh beberapa jam selepas insiden serangan yang menyasarkan majlis solat dan doa untuk arwah ibu Mujahid yang meninggal dunia pada minggu lalu.

Seorang pegawai suruhanjaya kebudayaan kerajaan yang enggan dikenali memberitahu AFP, lima orang maut dan 11 lagi cedera membabitkan orang awam serta pejuang Taliban.

"Kami juga telah menahan tiga individu berhubung insiden letupan itu," katanya.

Menurut pegawai itu lagi, bahan letupan dipasang di pintu masuk masjid terbabit dan diletupkan ketika tetamu mahu beredar selepas mengucapkan takziah kepada Mujahid dan keluarganya. — AFP

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

taliban, daesh, afghanistan, kabul