AMAN Khalili, mungkin hanya seorang penterjemah yang berkhidmat untuk kerajaan Amerika Syarikat di Afghanistan.
Tetapi siapa sangka individu yang pernah dia selamatkan 13 tahun lalu kini merupakan Presiden Amerika Syarikat (AS).
Mengimbau kembali detik bersejarah itu, Biden yang ketika itu merupakan Senator AS bersama beberapa senator lain menaiki helikopter tentera dalam siri lawatan di Afghanistan pada 2008.
Ketika itu, keadaan cuaca buruk mengundang risiko kepada konvoi Biden terhadap serangan hendap kumpulan pemberontak Taliban dan pengganas al-Qaeda.
Aman antara individu yang menaiki pesawat itu dan dia memainkan peranan besar untuk menyelamatkan konvoi tersebut menempuh penerbangan berliku itu.
Dia berjaya menunjukkan laluan selamat bagi mengelakkan helikopter yang membawa pemimpin AS itu diserang.
Kini selepas pengunduran tentera AS dan peralihan kerajaan di bawah Taliban, Aman terdesak untuk meninggalkan negara kelahirannya itu.
Malah dia pernah menyuarakan harapannya kepada Biden agar mengenang jasanya 13 tahun lalu.
"Saya percaya kepada dia (Biden). Saya percaya dia mampu lakukan apa saja," katanya, berharap Presiden AS itu mampu menyelamatkan dia, isteri dan lima anaknya.
Sejak Ogos, dia memohon agar AS menyelesaikan isu visanya agar dapat keluar dari Afghanistan dan menetap di AS.
Nyata rintihannya itu didengari oleh kerajaan AS yang kini dipimpin individu yang pernah diselamatkannya dulu.
Pada Isnin, seorang wakil Jabatan Negara AS berkata Aman dan keluarganya selamat keluar dari Afghanistan dan kini berada di Pakistan buat sementara.
"Mereka menerima sokongan kerajaan AS untuk keluar dari Afghanistan," kata wakil kerajaan itu yang tidak dinamakan. — Agensi