Ribut solar landa bumi malam Selasa


  • Benua
  • Selasa, 12 Okt 2021

FENOMENA Cahaya Utara dijangka dapat dilihat di beberapa tempat di United Kingdom (UK) pada Isnin waktu negara itu dan Selasa ketika ribut solar atau geomagnetik dijangka melanda bumi tengah malam ini.

Cahaya itu dijangka dapat dilihat di seluruh Scotland, bahagian utara England dan Ireland Utara, kata Pejabat Meteorologi UK.

"Ribut kecil berkemungkinan berterusan hingga 12 Oktober (waktu tempatan) sebelum angin pantas dari lubang korona tiba dan mungkin meneruskan aktiviti geomagnetik yang agak aktif,” katanya.

Menurut Pejabat Meteorologi UK lagi, fenomena itu diramal berada pada tahap sederhana.

"Ribut tersebut mungkin menyebabkan turun naiknya grid tenaga dan memberi kesan terhadap penerbangan kapal terbang. Orang ramai bagaimanapun dinasihatkan agar tidak panik," katanya.

Menurut penulis dan ahli astronomi terkenal tentang fenomena Cahaya Utara, Tom Kerss, ribut itu dijangka tidak akan menyebabkan berlaku gangguan di UK.

Bagaimanapun gangguan akan berlaku jika ribut solar dengan kekuatan lebih besar melanda bumi seperti yang terjadi kira-kira 150 tahun lalu.

Menurutnya, ribut solat dengan kekuatan lebih besar itu masih belum lagi berlaku di bumi setakat ini.

Fenomena Cahaya Utara atau Aurora Borealis itu ialah sinar cahaya yang sering kelihatan pada waktu malam di kawasan altitud tinggi di kawasan utara bumi. Agensi