Israel cuba normal hubungan dengan Oman


  • Benua
  • Jumaat, 08 Okt 2021

ISRAEL berpendapat, Oman boleh jadi negara seterusnya untuk menjalinkan hubungan normalisasi dengan negara penjajah itu. —Agensi
OMAN boleh menjadi negara Arab seterusnya untuk membuat hubungan normalisasi dengan negara haram Israel.

Pegawai Kanan Kementerian Luar Israel, Eliav Benjamin berkata, Israel berhubung dengan negara-negara Arab seterusnya dengan harapan dapat menjalin hubungan normalisasi baharu.

"Kami pada dasarnya berbicara untuk berhubung dengan semua negara di rantau ini, di Timur Tengah dan Afrika Utara.

"Mereka masing-masing harus memutuskan waktu yang tepat serta cara melaksanakannya. Kami berbicara dengan mereka termasuk Oman bahawa kami mempunyai kerjasama yang berterusan," katanya.

Kenyataan Benjamin itu muncul sehari selepas Menteri Luar Negeri Israel, Yair Lapid mengumumkan bahawa Israel sedang berusaha untuk memperluas hubungannya dengan negara-negara Arab ketika persidangan tahunan Persekutuan Yahudi Amerika Utara (AS).

"Saya tidak akan menyebut nama kerana ini akan membahayakan prosesnya, tetapi sudah tentu kami akan bekerjasama dengan AS dan rakan-rakan baharu di UAE, Bahrain dan Maghribi untuk mengembangkannya (hubungan normalisasi) ke negara lain," katanya.

Namun, Oman dalam beberapa bulan terakhir menegaskan bahawa pihaknya tidak akan mengadakan hubungan normalisai dengan Israel sebelum rakyat Palestin mendapat semula tanah mereka.

Israel pada September tahun lalu menandatangani perjanjian normalisasi yang juga dikenali Perjanjian Abraham dengan Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Bahrain.

Sudan dan Maghribi mengikut jejak langkah itu setelah bersetuju untuk mengadakan hubungan normalisasi dengan negara penjajah.

Hubungan normalisasi itu telah mendapat kecaman daripada rakyat Palestin yang menganggap negara-negara terbabit sebagai pengkhianat. —Agensi

Oman, Israel, normalisasi