OIC kecam pencabulan Israel terhadap Palestin


  • Benua
  • Sabtu, 02 Okt 2021

SEORANG remaja menunjukkan tanda kemenangan di hadapan bendera Palestin di kota Beita, berdekatan bandar Nablus di Tebing Barat pada 6 Julai lalu. — AFP

PERTUBUHAN Kerjasama Islam (OIC) pada Jumaat mengecam tindakan Israel yang berterusan mencabuli hak asasi rakyat Palestin di wilayah Baitulmuqaddis Timur.

Menurut kenyataan dikeluarkan oleh OIC, pertubuhan berkenaan memberi amaran tentang kesan buruk yang bakal tercetus akibat dasar pendudukan haram Israel, pembersihan etnik dan pengusiran penduduk Palestin.

"Rejim Zionis cuba mengubah identiti sejarah dan status undang-undang Baitulmuqaddis Timur dan memisahkannya dari Palestin," kata kenyataan tersebut.

Selain itu, OIC turut mengutuk tindakan rejim Zionis yang menghalang rakyat Palestin memasuki Masjid al-Aqsa daripada menunaikan solat.

Ratusan rakyat Palestin dihalang daripada memasuki Masjid Al-Aqsa untuk menunaikan solat Subuh baru-baru ini.

Tegas OIC, tindakan itu mencemarkan kawasan suci masyarakat Islam dan melanggar kebebasan beragama.

Undang-undang antarabangsa menyifatkan Tebing Barat dan Baitulmuqaddis Timur sebagai wilayah yang diduduki serta semua kegiatan pembinaan penempatan Yahudi di sana adalah haram.

Kira-kira 650,000 penduduk Israel tinggal di 164 penempatan haram dan 124 kawasan di Tebing Barat, termasuk di Baitulmuqaddis Timur yang diduduki. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

Baitulmuqaddis Timur, Tebing Barat, OIC