Kaunselor Austria letak jawatan terpalit skandal rasuah


  • Benua
  • Ahad, 10 Okt 2021

KURZ digesa berundur oleh blok pembangkang Austria. — AP
KAUNSELOR Austria, Sebastian Kurz mengumumkan peletakan jawatannya pada Sabtu selepas berdepan desakan agar beliau berundur kerana terpalit dengan dakwaan rasuah.

Kurz, 35, didakwa menggunakan wang kerajaan untuk memastikan media memberikan liputan yang positif mengenainya.

Parti pembangkang menggesa Kurz berundur dan merancang untuk mengusulkan undi tidak percaya terhadapnya di Parlimen pada Selasa depan.

"Saya ingin mengelakkan kekacauan. Bagi saya negara adalah lebih penting," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Sementara itu, Kurz mencadangkan Menteri Luar, Alexander Schallenberg sebagai penggantinya memandangkan Schallenberg mempunyai kemahiran diplomatik yang diperlukan untuk membina kembali kepercayaan kedua-dua pihak.

Beliau memaklumkan akan kembali ke Parlimen dan menumpukan tugasnya sebagai ketua People Party serta menggunakan kesempatan ini untuk membersihkan namanya atas tuduhan palsu yang dikenakan terhadapnya. — Agensi