Ahmad Zahid mohon pasport dikembalikan


AHMAD Zahid berdepan 47 pertuduhan membabitkan wang bernilai puluhan juta ringgit. — Bernama
DATUK Seri Ahmad Zahid Hamidi pada Khamis memohon di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur supaya pasportnya dikembalikan sementara bagi membolehkannya ke Munich, Jerman untuk mendapat rawatan.

Ahmad Zahid, 68, berdepan 47 pertuduhan iaitu 27 kes pengubahan wang haram, 12 membabitkan pecah amanah dan lapan tuduhan rasuah melibatkan puluhan juta ringgit milik Yayasan Akalbudi.

Peguam Hamidi Mohd Noh mewakili bekas Timbalan Perdana Menteri itu memaklumkan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Collin Lawrence Sequerah bahawa anak guamnya itu menderita sakit belakang serta leher dan perlu mendapatkan rawatan daripada pakar terkemuka di Munich.

"Anak guam saya mengalami sakit belakang dan leher. Beliau pada asalnya dirawat oleh doktor dari Jerman pada 2013, 2014, 2016.

"Kami membuat permohonan ini untuk membolehkan tertuduh menerima rawatan. Rawatan intervensi di Malaysia tidak mencukupi untuk mengurangkan kesakitan beliau,” kata Hamidi.

Permohonan itu difailkan pada 4 Oktober dan pada Khamis ditetapkan untuk pengurusan kes.

Timbalan Pendakwa Raya, Gan Peng tidak membantah permohonan tersebut.

Hakim kemudiannya menetapkan Isnin ini untuk keputusan permohonan berkenaan.

Sementara itu, Hamidi ketika ditemui pemberita selepas prosiding berkata, Ahmad Zahid memohon pasportnya dipulangkan pada 26 Oktober dan akan mengembalikannya pada 21 November.

"Kami akan membuat permohonan yang sama (mendapatkan pasport) di Mahkamah Tinggi Shah Alam, Selangor pada Isnin ini," ujar beliau. — Bernama