Singapura perlu enam bulan capai norma baharu


  • Benua
  • Sabtu, 09 Okt 2021

Hsien Loong ketika menyampaikan perutusan khas berhubung situasi Covid-19 Singapura pada Sabtu.

SINGAPURA mungkin akan mengambil masa tiga hingga enam bulan untuk mencapai “norma baharu” hidup dalam Covid-19, kata Perdana Menteri, Lee Hsien Loong.

Katanya, sasaran itu akan tercapai apabila Singapura melonggarkan sekatan serta kes harian berada pada kadar stabil iaitu sekitar ratusan kes setiap hari dan tidak bertambah.

"Kadang-kala ia mungkin tidak kelihatan seperti itu, tetapi kita sedang membuat kemajuan yang mantap menuju norma baharu.

"Setelah lonjakan ini (kes) stabil, kita mungkin masih melihat lonjakan pada masa hadapan, terutama jika varian baru muncul. Kita mungkin harus menekan brek lagi jika kes meningkat semula terlalu cepat, untuk melindungi sistem dan pekerja kesihatan kita.

"Tetapi kita akan dapat mengatasi lonjakan masa hadapan dengan lebih baik. Semakin ramai orang terdedah kepada virus dan pulih, tahap imuniti kita semakin meningkat. Covid-19 akan tersebar dengan lebih perlahan antara kita," katanya ketika menyampaikan perutusan khas berhubung situasi Covid-19 negara itu yang disiarkan di Facebooknya pada Sabtu.

Tambah beliau, walaupun situasi dalam beberapa bulan akan datang mungkin mencabar, namun lonjakan kes diharap akan reda dan mula menurun dalam tempoh sebulan.

Peralihan kepada norma baharu juga, katanya, bermakna hospital dapat kembali beroperasi seperti biasa, dan orang ramai turut kembali melakukan rutin harian seperti ketika pra-pandemik.

Namun, tegasnya, keutamaan kini adalah untuk melindungi sistem penjagaan kesihatan serta petugas-petugas kesihatan. — Majoriti

Lee Hsien Loong, Singapura, norma baharu