Taliban upah pekerja wanita kendali urusan pasport


  • Benua
  • Rabu, 06 Okt 2021

RAKYAT Afghanistan berkumpul di luar pejabat pasport selepas Taliban mengumumkan pengeluaran semula pasport pada Rabu. — Reuters
KUMPULAN Taliban pada Selasa mengumumkan membuka semula perkhidmatan pengeluaran pasport selain mengupah pekerja wanita untuk mengendalikan urusan pasport membabitkan golongan itu.

Pemangku Ketua Jabatan Pasport yang baharu dilantik, Alam Gul Haqqani dalam satu kenyataan berkata, sekurang-kurangnya 25,000 pasport sudah siap untuk dikeluarkan kepada mereka yang telah memohon.

Sementara itu, menurut pengarah Komunikasi Kementerian Dalam Negeri , Saeed Khosti, pasport akan dikeluarkan dengan maklumat negara yang sama iaitu Republik Islam Afghanistan.

Ratusan ribu rakyat Afghanistan melarikan diri dari negara itu selepas Taliban mengambil alih Kabul pada Ogos dan ramai lagi ingin melarikan diri tetapi terkandas disebabkan masalah pasport.

Langkah terbaharu berkenaan diambil selepas mesyuarat pertama Kabinet Taliban pada Isnin yang meluluskan pengeluaran semula pasport untuk rakyat Afghanistan. — Bernama

Afghanistan, pasport, Taliban